Siasat katering beri ikan busuk kepada mangsa banjir

Kalsom (dua dari kiri) bersama mangsa banjir di SK Sungai Rambai pada Rabu.
Kalsom (dua dari kiri) bersama mangsa banjir di SK Sungai Rambai pada Rabu.
A
A
A

JASIN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak akan teragak-agak untuk menyenaraihitamkan katering yang memberikan makanan tidak berkualiti termasuk ikan busuk kepada mangsa banjir.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Kalsom Nordin bagaimanapun berkata, sebarang keputusan akan dibuat selepas siasatan terperinci mengenai dakwaan itu dijalankan.

Menurutnya, pihaknya tidak akan berkompromi dan memandang serius insiden terbabit lebih-lebih berlaku di pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir.

Katanya, pihak pembekal perlu lebih peka dalam penyediaan makanan bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku.

"Saya hairan macam mana ia boleh berlaku, mungkin kelewatan, kecuaian mungkin juga kerana faktor cuaca.

"Bagi pihak kerajaan negeri saya kesal dengan apa yang berlaku dan kita akan siasat dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rambai di sini, pada Rabu.

Media pada Rabu melaporkan mangsa banjir di PPS itu mendakwa makanan tengah hari yang dibekalkan kepada mereka tidak berkualiti.

Mangsa banjir, Laila Md Salleh, 62, yang dipindahkan ke PPS itu sejak Ahad lalu mengaku dan mendakwa makanan yang diterima kurang berkualiti beberapa hari lalu.

Namun menurutnya, tidak mahu membuat sebarang aduan bimbang dituduh sebagai tidak tahu bersyukur.

"Saya makan sedikit sahaja tengah hari semalam untuk alas perut kerana ikan masak tomato baunya agak busuk dan makan apa yang ada sementara menunggu makan malam.

"Harap dapatlah ditingkatkan kualiti, kami bukan mahu meminta itu dan ini, cuma mahu ditambah baik makanan," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis berkata, pihaknya termasuk JKM sentiasa memantau di setiap PPS yang aktif dalam DUN berkenaan untuk memastikan keperluan mangsa banjir mencukupi termasuk sajian makanan.

"Setakat ini di PPS lain kita belum menerima aduan seperti ini dan pemantauan akan terus dilakukan agar perkara ini tidak berulang.

"Selepas ini kita akan fokus kepada kerja-kerja pasca banjir memandangkan air telah mula surut di beberapa kawasan," katanya.