SPRM rekod keterangan enam mangsa sindiket tipu pelaburan

Gambar kecil: Mohamad Zamri
Gambar kecil: Mohamad Zamri
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya telah merekod keterangan enam mangsa sindiket penipuan pelaburan bagi membantu siasatan.

Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, kesemua warga Australia itu hadir di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Selasa dan Rabu.

"Keenam-enam mangsa terbabit telah direkod percakapan dan mereka memberikan kerjasama yang baik.

"Pada esok (Khamis) juga akan hadir beberapa lagi mangsa ke SPRM (Putrajaya) juga membabitkan warga Australia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, SPRM juga dalam tindakan untuk melengkapkan siasatan.

Minggu lalu, SPRM telah mengenal pasti 10 mangsa penipuan sindiket pelaburan di Australia untuk dipanggil bagi direkod keterangan.

Mangsa-mangsa ini terdiri daripada akauntan, broker saham serta peguam.

Pada Selasa, sorang lelaki warga United Kingdom (UK) disyaki dalang sindiket pelaburan antarabangsa direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

21 Februari lalu, SPRM membongkar satu sindiket penipuan pelaburan yang didalangi oleh warga UK menerusi serbuan di sekitar ibu negara dan Pulau Pinang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Op Tropicana itu berjaya melaksanakan 24 serbuan termasuk tiga pusat panggilan atau 'boiler room', syarikat serta kediaman ahli sindiket.

Ahli-ahli sindiket ini terdiri daripada warga Australia, UK, Afrika Selatan dan Filipina.

Modus operandi sindiket adalah menawarkan portfolio pelaburan tidak wujud menerusi iklan di media sosial dengan mensasarkan mangsa di kalangan warga UK dan Australia.

Penjenayah scammer ini dipercayai telah memperoleh kira-kira AUD60 juta (kira-kira RM200 juta) hasil menipu mangsa-mangsa terlibat sejak 2019 sehingga sekarang.

Susulan itu, pada Jumaat, beberapa premis bank, pengurup wang dan pendaftar syarikat di sekitar ibu kota disyaki bersekongkol dan menjadi orang tengah kepada sindiket penipuan diserbu SPRM.