Polis tahan 9 lelaki rampas diesel subsidi RM322,500

Tiga lelaki tempatan dan enam lelaki warga asing yang berumur dalam lingkungan 20-an hingga 50-an ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti pemindahan diesel bersubsidi pada Isnin.
Tiga lelaki tempatan dan enam lelaki warga asing yang berumur dalam lingkungan 20-an hingga 50-an ditahan ketika sedang menjalankan aktiviti pemindahan diesel bersubsidi pada Isnin.
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis menahan sembilan lelaki ketika sedang melakukan aktiviti pemindahan diesel bersubsidi dari dua lori tangki yang dipam masuk ke dalam tangki sebuah kapal di Kompartment 35, Hutan Simpan Sungai Santi, Pengerang, dekat sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, bertindak atas maklumat risikan pencerobohan di hutan simpan itu, sepasukan anggota Jabatan Perhutanan Johor melakukan serbuan di tepi Sungai Santi pada jam 10.30 malam.

"Semasa serbuan mendapati tiga lelaki tempatan dan enam lelaki warga asing yang berumur dalam lingkungan 20-an hingga 50-an sedang menjalankan aktiviti pemindahan diesel bersubsidi terbabit.

"Pemeriksaan mendapati kesemua tangkapan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran memiliki, menyimpan, membawa barang kawalan tanpa permit daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Selain itu mereka juga tidak mempunyai permit memasuki hutan simpan terbabit dipercayai sedang menyeludup diesel keluar negara melalui jalan laut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, hasil serbuan Jabatan Perhutanan Johor berjaya merampas 150,000 liter diesel bersubsidi dalam tangki kapal dianggarkan bernilai RM322,500.

Sebuah kapal tangki turut dirampas di Kompartment 35, Hutan Simpan Sungai Santi, Pengerang pada Isnin.Gambar kecil: Sebuah lori sedang mengepam diesel bersubsidi masuk ke tangki sebuah kapal ditahan di Kompartment 35, Hutan Simpan Sungai Santi, Pengerang, Kota Tinggi pada Isnin.
Sebuah kapal tangki turut dirampas di Kompartment 35, Hutan Simpan Sungai Santi, Pengerang pada Isnin.Gambar kecil: Sebuah lori sedang mengepam diesel bersubsidi masuk ke tangki sebuah kapal ditahan di Kompartment 35, Hutan Simpan Sungai Santi, Pengerang, Kota Tinggi pada Isnin.

Katanya, keseluruhan nilai rampasan melibatkan dua lori tangki, sebuah generator, sebuah motosikal serta sebuah kapal termasuk diesel berkenaan dianggarkan bernilai RM1,714,800.

Menurutnya, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak KPDN dan Pegawai Jabatan Perhutanan Johor untuk disiasat di bawah Seksyen 47 Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor serta Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Seksyen 47 Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 pula katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

"Polis Johor memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan diesel bersubsidi ini," katanya.