Sri Lanka masih berdepan ancaman serangan

Pasukan keselamatan berkawal di luar Gereja St Anthony di Colombo sehari selepas serangan tersebut. - Foto: AFP
A
A

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) mendakwa ‘kumpulan pengganas’ dipercayai terus merancang serangan di Sri Lanka selepas sekurang-kurangnya 290 terbunuh manakala lebih 500 cedera dalam siri letupan serentak di negara itu, kelmarin.

“Pengganas mungkin lancarkan serangan dengan atau tanpa amaran,” ujarnya menerusi amaran yang disemak semula.

Jelasnya lagi, sasaran yang mungkin adalah lokasi tarikan pelancong, hab pengangkutan, pusat beli-belah, hotel, tempat ibadah, lapangan terbang dan kawasan awam lain.

Sehingga kini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan ke atas dua gereja dan empat hotel tersebut.

Segelintir penduduk Sri Lanka bagaimanapun mempersoalkan bagaimana tragedi itu masih boleh berlaku walaupun pihak berkuasa mendakwa mereka mendapat amaran awal tentang serangan tersebut. Sebelum ini, Ketua Polis Sri Lanka, Pujuth Jayasundara didakwa telah mengemukakan maklumat risikan kepada pegawai atasan pada 11 April lalu yang memberi amaran tentang pengebom bunuh diri dari kumpulan radikal National Thowheeth Jama’ath (NTJ) merancang serangan ke atas gereja terkenal.

Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe turut memberitahu kerajaan ada menerima beberapa maklumat awal tentang kemungkinan serangan ke atas gereja melibatkan kumpulan radikal tidak dikenali, namun para menteri tidak dimaklumkan tentang perkara itu.

Tambahnya, satu siasatan akan dijalankan untuk meneliti mengapa tindakan pencegahan tidak diambil selain melihat sama ada penyerang mempunyai kaitan dengan ‘pihak luar negara’ kerana mereka percaya ia dibantu rangkaian antarabangsa.

Susulan itu, Presiden Maithripala Sirisena telah meminta bantuan untuk menjejaki ‘kaitan antarabangsa’ dengan penyerang.

“Laporan risikan menunjukkan pertubuhan pengganas asing berada di belakang pengganas tempatan.

"Oleh itu, presiden mencari bantuan negara luar untuk menjejaki pihak terbabit,” jelas pejabatnya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan lain, letupan daripada sebuah van berhampiran Gereja St Anthony di Colombo sehari selepas insiden serangan tersebut telah mencetuskan panik orang ramai.

Media tempatan melaporkan ia adalah letupan terkawal selepas pihak berkuasa menghapuskan objek mencurigakan dalam kenderaan itu. - Agensi


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia