Bekalan elektrik di Johor, Pahang pulih berperingkat

Shamsul menyerahkan bantuan kotak makanan TNB kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Agama Seri Maimon, Batu Pahat, Johor.
Shamsul menyerahkan bantuan kotak makanan TNB kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Agama Seri Maimon, Batu Pahat, Johor.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekalan elektrik di kawasan terjejas banjir di Johor dan Pahang berjaya dipulihkan secara berperingkat setakat jam 8 pagi Selasa.

Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Ts Shamsul Ahmad berkata, pihaknya sedang giat memulihkan bekalan elektrik di beberapa daerah di Johor dan Pahang yang terjejas akibat banjir dengan keselamatan awam sentiasa menjadi pertimbangan utama dalam usaha pemulihan bekalan.

Tambah Shamsul, TNB berjaya menyambungkan semula bekalan secara berperingkat iaitu 70.68 peratus daripada kawasan terjejas di Johor telah berjaya dipulihkan, Pahang (92.69 peratus) manakala Melaka dan Negeri Sembilan telah pulih sepenuhnya.

Dalam pada itu, Shamsul memaklumkan warga kerja barisan hadapan TNB sedang bertungkus lumus di lapangan supaya bekalan dapat disalurkan secara berperingkat dan bergantung kepada akses serta keadaan setempat.

"Dalam suasana banjir terutama premis yang dinaiki air, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati menggunakan peralatan elektrik dan suis.

"Jangan menyentuhnya dengan tangan basah dan lembap kerana boleh menyebabkan renjatan elektrik,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Shamsul menyerahkan bantuan kotak makanan TNB kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Agama Seri Maimon, Batu Pahat, Johor selain menziarahi keluarga mangsa banjir yang juga warga kerja TNB, Mohd Ridzwan Mohd Shah, di Kangkar Tebrau, Johor Bahru, Johor.

Menurut Shamsul, TNB sentiasa peka dan turut bersimpati dengan keperitan rakyat yang sedang diuji bencana disamping memastikan bekalan ke semua PPS berada dalam keadaan baik.

Selain bantuan makanan, TNB juga memperuntukkan RM50,000 bantuan kewangan dan barangan keperluan kepada mangsa banjir di Johor sebagai tambahan kepada kira-kira RM1.73 juta untuk kos penyediaan 45 set janakuasa bergerak yang dihantar ke Johor bagi membantu negeri itu yang dilanda banjir.

Ujarnya lagi, TNB akan segera memberikan semula bekalan elektrik sebaik keadaan infrastruktur dan keselamatan premis pengguna berada dalam keadaan selamat dengan pemeriksaan menyeluruh pendawaian perlu dilakukan oleh kontraktor berdaftar dan Suruhanjaya Tenaga (ST) demi keselamatan mereka.

"Bekalan tidak boleh disambung begitu sahaja kerana penduduk perlu memastikan keadaan rumah mereka bersedia menerima bekalan elektrik.

"Pendawaian dan peralatan elektrik yang ditenggelami air mungkin terjejas serta perlu dibersihkan dan diperiksa terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” jelasnya.

Shamsul berkata, tindakan utama TNB adalah memulihkan pencawang dan aset lain seperti tiang tumbang selain membaik pulih kabel dengan mengujinya untuk memastikan ia selamat bagi menyalurkan bekalan.

"TNB juga menasihati pengguna di kawasan banjir untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB yang beralih atau tumbang," ujarnya.