Rayuan Isa Samad kes rasuah RM3 juta, 26 Jun depan

Mohd Isa
Mohd Isa
A
A
A

PUTRAJAYA – Prosiding rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Mahkamah Rayuan yang disepatutnya bermula pada Selasa, dijadualkan semula ke 26 Jun depan.

Ketika dihubungi media, peguam, Siti Sarah Khalil yang mewakili bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, penangguhan itu bagi memberi masa kepada pihaknya untuk memfailkan hujahan balas pihak pendakwaan.

“Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Muhammad Noor Firdaus Rosli membenarkan penangguhan itu, ketika pengurusan kes berkenaan dibuat secara dalam talian sebentar tadi,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz mengesahkan tarikh baharu prosiding rayuan berkenaan.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd Isa, 74, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC, di sini antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhi hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun, jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun selepas mahkamah memerintahkan supaya hukuman penjara itu berjalan serentak.

Keesokan hari, Mohd Isa merayu terhadap sabitan hukuman dan denda tersebut.

Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta serta menetapkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.