Tiga maut bot penumpang bertembung di perairan Lumut

Tiga wanita warga tempatan maut dalam kejadian dua bot bertembung di perairan Lumut Pangkor berhampiran Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini pada malam Isnin.
Tiga wanita warga tempatan maut dalam kejadian dua bot bertembung di perairan Lumut Pangkor berhampiran Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini pada malam Isnin.
A
A
A

MANJUNG - [DIKEMAS KINI] Tiga wanita warga tempatan maut dalam kejadian dua bot bertembung di perairan Lumut Pangkor berhampiran Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini pada malam Isnin.

Dalam kejadian sekitar jam 9 malam itu, mangsa berusia antara 26 hingga 43 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Laut, Lumut.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan mendapati, bot terlibat membawa muatan 17 penumpang bersama seorang tekong dari arah Lumut ke Pangkor.

Menurutnya, sebuah bot lagi dinaiki seorang tekong dan dua penumpang dari arah bertentangan.

"Akibat pertembungan itu, 10 penumpang telah jatuh ke dalam laut sebelum diselamatkan oleh kedua-dua tekong bot berkenaan.

"Kesemua mereka kemudiannya di bawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, tiga daripada mangsa itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia.

Katanya, kejadian turut mengakibatkan seorang wanita berusia 43 tahun ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) manakala yang lain dirawat sebagai pesakit luar.

"Mangsa yang maut telah dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.