Penguatkuasaan ladang, rizab jalan di Cameron Highlands ditangguh

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang bersetuju untuk menangguhkan tindakan penguatkuasaan terhadap petani yang mengusahakan pertanian di tanah rizab jalan tanpa kebenaran di Cameron Highlands.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Chi Yang dalam satu kenyataan pada Selasa susulan pertemuan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika lawatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Cameron Highlands baru-baru ini.

Beliau memaklumkan, kerajaan Pahang juga berjanji untuk mengecilkan kawasan terlibat dalam penguatkuasaan, namun kawasan ladang yang terletak dalam rizab sungai perlu dikosongkan.

"Menteri Besar memutuskan tindakan penguatkuasaan hanya akan dilaksanakan terhadap ladang di rizab sungai sebagai persediaan untuk projek menaik taraf sungai pada masa hadapan.

"Bagi ladang yang terletak di kawasan rizab jalan raya, MB bersetuju untuk menangguhkan tindakan penguatkuasaan memandangkan petani Cameron Highlands berdepan dengan pelbagai cabaran dan kesukaran," katanya.

Sebelum itu, Chi Yang menggesa kerajaan Pahang mempertimbangkan nasib petani Cameron Highlands dan tidak melakukan tindakan penguatkuasaan yang keras terhadap ladang terletak di kawasan rizab jalan dan sungai.

Menurutnya, gesaan itu dibuat selepas beberapa petani dari Blue Valley di sini diarah Jabatan Tanah dan Galian Pahang untuk mengosongkan sebahagian ladang mereka yang terletak di rizab jalan dan sungai dalam tempoh dua minggu.

Jelas Chi Yang, jika petani gagal, tindakan penguatkuasaan akan dijalankan terhadap mereka.

"Saya membangkitkan isu ini kepada Menteri Besar dan menggesa kerajaan negeri supaya bersimpati terhadap kesulitan dan kesusahan petani. Malah, saya menjelaskan kepada beliau bahawa petani Blue Valley telah mengusahakan tanah mereka selama berpuluh tahun untuk mencari rezeki.

"Selain itu, ramai petani kini menghadapi beban kewangan akibat gangguan rantaian bekalan makanan semasa pandemik dan peningkatan kos pertanian seperti harga baja serta sewa tanah pertanian," katanya.

Chi Yang menambah, petani di Blue Valley juga rela mengosongkan sebahagian ladang mereka tanpa meminta sebarang pampasan daripada kerajaan berhubung pembinaan Jalan Persekutuan FT185 yang menghubungkan Tanah Tinggi Lojing dan Simpang Pulai.

"Oleh itu, saya menyeru kerajaan untuk mempertimbangkan dan bersimpati terhadap nasib petani untuk mencapai situasi menang-menang," katanya.