JAIPk keluar garis panduan larang pemimpin politik mengajar di masjid

Garis Panduan Larangan Mengajar Serta Bersyarah Dalam Masjid dan Surau yang Berdaftar Dengan JAIPk.
Garis Panduan Larangan Mengajar Serta Bersyarah Dalam Masjid dan Surau yang Berdaftar Dengan JAIPk.
A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak menetapkan semua wakil rakyat tidak dibenar mengajar atau bersyarah di masjid dan surau berdaftar di negeri ini.

Pengarahnya, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, larangan tersebut terpakai untuk semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari semua negeri termasuk Ahli Dewan Negara.

Jelas beliau, arahan tersebut turut terpakai kepada individu yang memegang jawatan dalam mana-mana parti politik serta mereka yang pernah bertanding sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Kecil.

"Larangan mengambil bahagian dalam aktiviti mengajar atau bersyarah di mana-mana masjid dan surau yang berdaftar dengan JAIPk di Perak hendaklah terpakai kepada individu yang tidak mempunyai sebarang tauliah mengajar daripada Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak

"Individu yang telah bersara sebagai Ahli Dewan Negara atau Ahli Dewan Rakyat atau ADUN serta didapati kekal aktif dalam kegiatan-kegiatan politik turut tidak dibenarkan mengajar atau memberi syarahan di masjid dan surau," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian menerusi pekeliling Garis Panduan Larangan Mengajar Serta Bersyarah Dalam Masjid dan Surau yang Berdaftar Dengan JAIPk.

Harith Fadzilah berkata, jawatankuasa kariah masjid dan surau perlu sentiasa memantau aktiviti mengajar atau bersyarah agar selari dengan matlamat pengajaran iaitu pengukuhan ilmu dan pemupukan perpaduan masyarakat.

Dalam perkembangan lain, Harith Fadzilah menerusi Garis Panduan Pelaksanaan Program Ibadah Di Bulan Ramadan Tahun 1444H turut memaklumkan Masjid Ubudiyah, Kuala Kangsar dan Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) akan melaksanakan 20 rakaat solat tarawih.

Menurutnya, bilangan rakaat solat tarawih bagi masjid dan surau lain diserahkan kepada ketetapan dan budi bicara jawatankuasa kariah masing-masing.

Beliau berkata, imam jemputan dari luar negara perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Pengarah JAIPk manakala aktiviti tazkirah yang mahu diadakan juga hendaklah dilakukan selepas selesai solat sunat witir yang mengiringi solat tarawih.

"Imam tempatan hendaklah diutamakan oleh setiap masjid dan surau. Imam jemputan dari luar kariah yang telah mendapat kebenaran bertulis Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, dibenarkan menjadi imam di sesebuah masjid dan surau tidak melebihi tujuh malam sepanjang bulan Ramadan.

"Dibenarkan untuk mengadakan hidangan berbuka puasa (iftar), hidangan selepas tarawih (moreh) dan hidangan sahur. Bagi petugas yang terlibat secara langsung menguruskan hidangan makanan, wajib membuat Ujian Pengesanan Covid-19: RTK Antigen dan ditunjukkan kepada petugas masjid," katanya.

Menurutnya, aktiviti tadarus al-Quran serta qiamullail juga dibenarkan diadakan di masjid dan surau.

Sementara itu, beliau berkata, semua program di masjid hendaklah dianjurkan atas nama jawatankuasa kariah masjid dan bukan atas nama penyumbang.