Pasukan dron sedia digerak ke kawasan banjir

Arthur Joseph ditemui media selepas merasmikan galeri dron di Tech Dome Penang yang terletak di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Georgetown hari ini. - Foto Bernama
Arthur Joseph ditemui media selepas merasmikan galeri dron di Tech Dome Penang yang terletak di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Georgetown hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam keadaan bersiap sedia untuk menggerakkan pasukan dron bagi membantu agensi dan pasukan penyelamat di lapangan di negeri-negeri dilanda banjir terutamanya, Johor.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pasukan dron yang dikendalikan oleh Pasukan Petugas Kecemasan Perkhidmatan Dron Khas (PTK2Dron) bukan sahaja mampu membuat pengawasan dan operasi mencari serta menyelamat malah boleh menghantar bekalan ubat-ubatan.

"Pasukan dron kita dalam keadaan bersiap sedia pada bila-bila masa untuk mobilisasi serta merta bagi membantu pasukan keselamatan di kawasan banjir sekiranya dipanggil oleh pasukan bomba atau mana-mana agensi penyelamat kita.

Macam banjir di Selangor tahun lepas dan tanah runtuh baru-baru ini, pasukan kita memang telah digerakkan untuk membantu pasukan penguat kuasa bagi pengendalian dron...di kawasan banjir (Selangor) sebelum ini,sebanyak 20 dron yang berkapasiti tinggi digunakan untuk menghantar bekalan ubat-ubatan ke kawasan sukar (dimasuki).

"Dron dengan teknologi tinggi itu bukan sahaja boleh menghantar bekalan ubat-ubatan malah turut boleh membuat pengawasan atau memantau kawasan banjir dan menjalankan operasi mencari serta menyelamat mangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Galeri Dron di Tech Dome Pulau Pinang, di Komtar di sini hari ini.

Untuk rekod, PTK2Dron diperkukuhkan menerusi penyelarasan inisiatif Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS), dilancarkan oleh MOSTI pada tahun lepas yang menyokong syarikat dron mendapatkan sokongan teknikal, pengawal seliaan dan sokongan tapak pengujian.

Sementara itu, Arthur berkata, industri dron Malaysia semakin berkembang pesat dan telah menduduki tempat teratas di Asia Tenggara dalam Indeks Kesediaan Dron (DRI) 2023 di tempat ke-21, meningkat daripada kedudukan ke-30, tahun lepas.

Katanya, pencapaian dalam DRI adalah hasil awal Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) dan inisiatif lain yang melibatkan kerjasama padu oleh pelbagai agensi dan pihak berkepentingan.

"MOSTI juga sedang giat menjalankan pelbagai inisiatif dan program bagi terus memperluaskan teknologi dron terutama kepada golongan muda kerana industri itu berpotensi menyumbang RM50.71 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada lebih 100,000 orang menjelang 2030," katanya.

Beliau berkata inisiatif Tech Dome Pulau Pinang mewujudkan galeri dron dapat mendedahkan generasi muda dengan teknologi baharu dan pelbagai aplikasi menerusi pembelajaran berasaskan pengalaman.

"Ia selari dengan visi dan usaha kami yang mahu memberikan lebih banyak pendekatan teknologi dron kepada golongan muda dengan cara mampan menerusi penyemaian bakat dan minat tempatan," katanya. - Bernama