SADA laksana pelan tangani isu bekalan air

Laporan Sinar Harian pada Ahad melaporkan gangguan bekalan air di Taman Universiti Jaya, Semeling yang sering berlaku membebankan penduduk.
Laporan Sinar Harian pada Ahad melaporkan gangguan bekalan air di Taman Universiti Jaya, Semeling yang sering berlaku membebankan penduduk.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Syarikat Air Darul Aman (SADA) mempunyai pelan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani isu bekalan air di Taman Universiti Jaya, Semeling.

SADA menerusi satu kenyataan memaklumkan, pelan jangka pendek dilaksana dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran bekalan melalui lori tangki secara berjadual ke kawasan terjejas dengan kekerapan dua hari sekali.

Menurut kenyataan sama, sistem retikulasi lama dan uzur merupakan antara penyumbang utama kepada masalah ketidakcukupan air di Kedah.

"SADA kini giat menjalankan kerja-kerja mengesan kebocoran paip pada sistem agihan secara menyeluruh melalui kaedah Active Leakage Control (ALC) dengan matlamat mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) melalui pelan jangka sederhana.

“Bagi pelan jangka panjang pula, kerja-kerja menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau kini sedang dalam fasa pembinaan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, pertambahan kapasiti sebanyak 40 juta liter air sehari (MLD) daripada LRA tersebut dijangka akan meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat sekali gus meningkatkan keberkesanan sistem pengagihan air terawat di Daerah Kuala Muda.

Tambah kenyataan itu lagi, antara faktor LRA Tupah yang menyalurkan bekalan air ke Taman Universiti Jaya Fasa 2A dihenti tugas atau berlaku pengurangan operasi termasuklah berdepan kekangan ketika hujan lebat, kemarau dan semasa penyelenggaraan.

"Hujan lebat yang berterusan di atas Gunung Jerai menyebabkan berlakunya peningkatan kadar kekeruhan (NTU) sekali gus mengakibatkan LRA Tupah dihenti tugas kerana tidak mampu memproses air mentah yang mengandungi kadar NTU yang tinggi.

“Fenomena kemarau yang panjang di kawasan Gunung Jerai pula menyebabkan berlakunya pengurangan sumber air mentah untuk diproses sekali gus mengakibatkan LRA Tupah terpaksa dihenti tugas atau beroperasi secara separa," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, walaupun tidak dapat menyelesaikan masalah secara total, penghantaran bekalan melalui lori tangki dan tangki statik buat masa ini diharap dapat meminimumkan gangguan dihadapi.

“SADA sedang berusaha bagi meminimumkan gangguan selain memastikan perkhidmatan bekalan dipertingkatkan dari masa ke semasa," katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan kira-kira 600 penduduk Taman Universiti Jaya, Semeling mengeluh akibat sering berdepan masalah gangguan bekalan air yang meruncing sejak Februari lalu.