Penduduk Orang Asli kecewa diusir keluar

Penduduk Kampung Sungai Sinju hadir menyerahkan Memorandum Aduan Pencerobohan Tanah Adat Orang Asli kepada wakil Menteri Besar.
Penduduk Kampung Sungai Sinju hadir menyerahkan Memorandum Aduan Pencerobohan Tanah Adat Orang Asli kepada wakil Menteri Besar.
A
A
A

IPOH - Seramai 163 penduduk Orang Asli Kampung Sungai Sinju, Simpang Pulai di sini, bakal kehilangan tempat tinggal selepas menerima notis pengusiran, bulan lalu.

Tok Batin, Alang Apok Sitam, 66, berkata, penduduk terdiri daripada 42 keluarga diberi tempoh sehingga 30 hari untuk mengosongkan lot-lot tanah berkenaan bagi memberi laluan kerja-kerja penanaman durian musang king di Hutan Simpan Bukit Kinta.

"Kami menyedari perkara ini setelah terlihat jentera-jentera berat mula memasuki kampung pada 26 September lalu dengan menolak pokok-pokok dalam dusun.

"Bukan sahaja pokok buah-buahan ditolak, hasil hutan seperti buluh, bertam dan kayu yang digunakan untuk membina rumah kami turut dimusnahkan," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan Memorandum Aduan Pencerobohan Tanah Adat Orang Asli di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Alang Apok
Alang Apok

Menurut Alang Apok, penduduk kampung telah dianggap seperti setinggan meskipun telah tinggal di kawasan itu lebih tujuh dekad lalu.

"Surat peguam itu diterima pada 23 Februari lalu dan kami pula dianggap seperti menceroboh tanah yang diduduki nenek moyang kami.

"Projek yang dijalankan tanpa pengetahuan kami itu telah menyulitkan lagi kehidupan penduduk.

"Ke mana lagi kami hendak pindah, inilah satu-satunya penempatan yang kami ada," katanya.

Tambah Alang Apok, mereka memohon campur tangan kerajaan negeri bagi membantu penduduk menyelesaikan isu itu.

"Tinggal beberapa minggu lagi sebelum mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kami. Aduan telah diajukan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Sebahagian kawasan Hutan Simpan Bukit Kinta terletak kira-kira 200 meter dari Kampung Sungai Sinju telah dibersihkan dipercayai untuk menjalankan projek penanaman pokok durian musang king.
Sebahagian kawasan Hutan Simpan Bukit Kinta terletak kira-kira 200 meter dari Kampung Sungai Sinju telah dibersihkan dipercayai untuk menjalankan projek penanaman pokok durian musang king.

"Kami turut berharap kerajaan negeri menyemak semula pemberian milik tanah tersebut dengan mengambil kira kebajikan masyarakat suku Temiar di sini," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima memorandum tersebut dan akan menyiasat mengenai isu tersebut.