PDRM pantau media sosial kumpulan dikaitkan dengan IS

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau rapi aktiviti media sosial kumpulan di Malaysia yang dikaitkan dengan Islamic State (IS).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beberapa media tempatan melaporkan bahawa terdapat aktiviti media sosial oleh kumpulan di Malaysia yang dikaitkan dengan IS.

"Laporan media itu didapati berasaskan maklumat yang diperoleh daripada Nordic Counter Terrorism Network dari Finland," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Acryl Sani berkata, PDRM sejak awal telah mengesan dan terus memantau secara rapi penyebaran propaganda melalui media sosial sebagai usaha meraih sokongan kepada kumpulan yang dikaitkan IS.

"Salah satu langkah PDRM adalah mewujudkan kolaborasi rapat dengan agensi keselamatan serantau bagi memantau penyebaran propaganda sedemikian, agar tindakan dapat diambil ke atas pihak yang dikenal pasti terlibat," katanya.

Beliau berkata, kesemua agensi sedang memainkan peranan secara aktif dan pemantauan telah ditingkatkan bagi memastikan tahap ancaman keselamatan terjamin.

"Orang ramai dinasihatkan tidak gusar dengan laporan media mengenai aktiviti penyebaran propaganda oleh pihak yang menyokong IS," katanya.

Acryl Sani berkata, berdasarkan situasi semasa, PDRM memberi jaminan bahawa tahap keselamatan negara adalah terkawal.

"Pada masa sama PDRM juga komited dalam memastikan sebarang aktiviti yang boleh mendatangkan kemudaratan ketenteraman awam, diambil tindakan tegas tanpa kompromi demi mengekalkan kesejahteraan masyarakat," katanya.