YBR salur bantuan RM40,000 manfaatkan 400 murid di Sarawak

Syaiful Rizal (tengah) menyerahkan simbolik replika cek bantuan persekolahan kepada wakil penerima di Masjid Darul Rahmah Tambirat, Kuching pada Sabtu.
Syaiful Rizal (tengah) menyerahkan simbolik replika cek bantuan persekolahan kepada wakil penerima di Masjid Darul Rahmah Tambirat, Kuching pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyalurkan bantuan persekolahan bernilai RM40,000 kepada murid sekolah rendah dan menengah di Sarawak sempena sesi persekolahan yang bakal bermula pada 20 Mac ini.

Pengurus Besarnya, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, seramai 400 orang murid menerima bantuan tersebut melalui program bantuan persekolahan dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Bank Negara Malaysia Kuching.

Menurutnya, bantuan tunai sebanyak RM100 diberikan kepada setiap murid daripada kalangan asnaf dan keluarga golongan berpendapatan rendah (B40) bagi membantu ibu bapa atau penjaga membuat persediaan untuk sesi persekolahan.

"Susulan keadaan ekonomi yang masih tidak stabil, diharapkan pemberian bantuan tunai ini mampu meringankan urusan kewangan mereka dalam menyediakan kelengkapan persekolahan mengikut keperluan masing-masing.

"Pemberian bantuan tersebut dipecahkan kepada dua lokasi iaitu di sekitar Kuching dan Mukah dalam masa yang terdekat sebelum sekolah dibuka.

“Bantuan yang disalurkan kepada pihak yang layak ini diharapkan mampu memberi suntikan semangat dan motivasi kepada anak-anak untuk hadir ke sekolah sama seperti mereka yang bernasib baik serta sebagai tanda ingatan YBR dalam membantu masyarakat yang semakin terhimpit dengan keadaan semasa," katanya sempena majlis penyerahan bantuan berkenaan pada Sabtu.

Beliau menyerahkan replika cek bantuan persekolahan di Masjid Darul Rahmah Tambirat, Kuching, Sarawak.

Untuk rekod, seramai 26,604 murid telah menerima manfaat melalui bantuan persekolahan YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 juta yang melibatkan 87 lokasi pada tahun lalu.