RoS lulus usul jawatan Presiden UMNO, timbalan tak dipertanding

Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Majlis Pengenalan Calon UMNO Pulau Pinang pada Sabtu.
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Majlis Pengenalan Calon UMNO Pulau Pinang pada Sabtu.
A
A
A

BAYAN LEPAS - [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO telah diterima Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Ahmad Zahid berkata, UMNO telah menerima surat bertarikh 3 Mac 2023 daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengesahkan bahawa ROS telah menerima usul yang telah diluluskan oleh PAU.

"Pada hari ini (Sabtu) kita telah menerima surat daripada KDN yang mengesahkan bahawa RoS telah menerima usul yang telah diluluskan oleh PAU.

"Maka, adalah sah daripada surat yang dikeluarkan itu, bahawa hanya jawatan Naib Presiden ke Majlis Tertinggi dan jawatan-jawatan di sayap-sayap akan ditandingi," katanya dalam ucapan di Majlis Pengenalan Calon UMNO Pulau Pinang pada Sabtu.

Sementara itu, dalam sidang akhbar, Ahmad Zahid berkata, melalui surat tersebut, Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan kepada Seksyen 13(1)(c)(14) melalui Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) berhubung keputusan usul tambahan yang telah diluluskan dalam PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang tidak akan dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

"Ertinya dalam surat yang diutuskan oleh KDN itu, ia merupakan satu keabsahan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO disahkan untuk tidak dipertandingkan. Ini kerana, semua peraturan mesyuarat telah diikuti oleh Pengerusi Tetap dan semua klausa dalam Perlembagaan juga telah diikuti oleh Pengerusi Tetap.

"Yang paling penting, Pengerusi Tetap telah meminta seluruh perwakilan yang bersetuju dengan usul ke 8 daripada pencadang kepada ucapan dasar Presiden yang mana jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi.

"Pengerusi Tetap telah meminta mana-mana perwakilan yang setuju untuk bangun dan angkat tangan. Didapati lebih 95 peratus yang hadir telah bangun dan angkat tangan, untuk tidak bersetuju, Pengerusi Tetap juga minta berbuat demikian," jelasnya.

Justeru katanya, Pengerusi Tetap telah mengikuti semua peraturan dan Perlembagaan parti.

"Oleh kerana di dalam Perlembagaan UMNO menyebut bahawa badan tertinggi di dalam membuat keputusan adalah PAU. Maka, keputusan yang dibuat oleh Pengerusi Tetap untuk melakukan PAU melalui tatacara dan Perlembagaan parti itu telah diikuti sepenuhnya.

"Dengan itu, surat daripada KDN adalah memberikan pengesahan bahawa apabila RoS melakukan siastaan maka keputusan daripada Menteri KDN mengikut Perkara 70 di dalam Akta Pertubuhan 1966 adalah berkuatkuasa sepenuhnya dan memberikan keabsahan kepada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan," katanya.

Ditanya mengenai tiada pengumuman daripada RoS mengenai perkara tersebut, Ahmad Zahid berkata, pengumuman yang dibuat itu adalah daripada RoS yang disahkan oleh KDN.

"Yang saya cakap ini, pengumuman lah. Bila surat diberi, pengumuman daripada parti.

"Saya telah sebutkan tadi dalam ucapan saya yang mana, surat ini telah dihantar semalam (Jumaat)," katanya.

Sebelum ini, usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO akan datang dicadangkan perwakilan dari Negeri Sembilan Mohd Shukri Samsudin.

Susulan daripada itu, dua ahli UMNO pada 20 Januari lalu menghantar aduan kepada RoS agar semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan semasa PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Aduan berhubung dua jawatan yang tidak dipertandingkan itu dikemukakan oleh ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom yang berharap RoS dapat menentukan sekiranya terdapat pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada Perhimpunan Agung UMNO 2022.