Agong sempurna pecah tanah tapak surau IPD Cameron Highland

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melihat model surau yang akan dibina ketika Majlis Pecah Tanah Tapak Surau Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands di Brinchang pada Sabtu. - Foto: Bernama
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melihat model surau yang akan dibina ketika Majlis Pecah Tanah Tapak Surau Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands di Brinchang pada Sabtu. - Foto: Bernama
A
A
A
CAMERON HIGHLANDS - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Sabtu berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah tapak surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands di Brinchang.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Hussain, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Ramli Md Nor dan Pengarah Eksekutif LBS Datuk Seri Daniel Lim Hock Sing.

Surau yang bakal menjadi mercu tanda baharu Cameron Highlands itu akan dibina di atas tanah seluas 0.4 hektar dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan 2024.

Berkeluasan 1, 833 meter persegi, surau itu mampu memuatkan 200 jemaah pada satu-satu masa dan bakal memberi manfaat kepada kakitangan IPD Cameron Highlands serta masyarakat setempat.

Antara kemudahan yang disediakan ialah bilik audio, bilik imam, tandas, kolah wuduk, bilik mesyuarat, bilik jenazah, ruang makan dan parkir.

Pembinaan surau itu bakal menelan belanja hampir RM5 juta hasil sumbangan LBS Bina Group Berhad sebagai tanggungjawab sosial korporat syarikat pemaju hartanah berkenaan.

Sementara itu, Razarudin dalam ucapan mewakili pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia menzahirkan ucapan terima kasih atas usaha dan komitmen kerajaan Pahang dan syarikat pemaju yang bakal menjayakan pembinaan surau berkenaan.

"Sesungguhnya pembinaan rumah ibadat ini mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap keperluan warga pasukan terutama yang beragama Islam.

"Surau ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada warga pasukan menunaikan tuntutan ibadah malah sebagai pusat tarbiah dan penyebaran syiar Islam bagi pembangunan ummah serta keseluruhannya,” kata beliau. - Bernama