Peniaga hilang sijil SSM dapat gantian percuma - Salahuddin

Salahuddin (kanan), menyerahkan bakul rahmah kepada salah seorang mangsa banjir di PPS Parit Yaani pada Sabtu.
Salahuddin (kanan), menyerahkan bakul rahmah kepada salah seorang mangsa banjir di PPS Parit Yaani pada Sabtu.
A
A
A

BATU PAHAT – Golongan peniaga yang kehilangan sijil pendaftaran perniagaan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akibat banjir boleh mendapatkan sijil pendaftaran baharu secara percuma di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, usaha berkenaan dibuat bagi membantu mana-mana peniaga di seluruh negara yang berdepan situasi sedemikian.

“Kementerian ingin memaklumkan kepada mana-mana mangsa banjir yang kehilangan atau sijil pendaftaran (perniagaan) mereka musnah (akibat banjir), jangan bimbang... (pihak ) SSM akan menggantikannya secara percuma.

“Ini antara ikhtiar kita untuk bantu mangsa banjir khususnya peniaga yang kehilangan sijil pendaftaran mereka,” katanya kepada pemberita ketika melawat pusat pemindahan banjir (PPS), di Dewan Parit Yaani pada Sabtu.

Difahamkan seramai 394 mangsa daripada 100 keluarga dari sekitar Parit Yaani ditempatkan di PPS berkenaan.

Sebelum itu, Salahuddin turut melawat dua lagi PPS di SK Sri Binjai di Pekan Tongkang Pecah dan SK Seri Telok, Jalan Kmampung Parit Banyu Mas, Yong Peng.

Untuk rekod, sebelum ini urusan bagi mendapatkan sijil pendaftaran perniagaan baharu (bagi menggantikan sijil rosak atau hilang) melibatkan kos pembayaran sebanyak RM10.

Sementara itu, Salahuddin berkata, pihaknya berpuas hati dengan kelengkapan yang disediakan di kesemua PPS berkenaan sekali gus diharap dapat membantu meringankan beban mangsa banjir ketika ini.

“KPDN sendiri pada pagi ini telah meminta rakan-rakan strategik seperti Mydin, Lotus, Marrybrown, Econsave, Lazada, Shoppee dan beberapa pemain-pemain industri yang lain menghantar bantuan segera bagi membantu meringankan beban mangsa banjir yang kali ini semua tahu, Johor hadapi banjir di luar jangka dan sudah pasti ia memerlukan bantuan dan peralatan tambahan.

“Selain itu kita juga telah hantar 2,000 bakul Rahmah dan dijangka dalam masa dua tiga hari ini akan meningkat ke 5,000; selain itu food bank juga telah dihantar dalam bentuk makanan dan bungkusan.

"Food bank ni.. ia hampir sama dengan bakul rahmah tapi dalam bentuk bantuan makanan kering...kita tak hantar barang mentah sebab hanya pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sahaja yang akan memasak untuk makanan tengahari dan malam,” katanya.