KDN maklum keperluan Johor perlu petugas tambahan

Saifuddin Nasution (kiri) mendengar penerangan dari Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh (dua dari kiri) pada lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Melayu pada Jumaat. - Foto: Bernama
Saifuddin Nasution (kiri) mendengar penerangan dari Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh (dua dari kiri) pada lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Melayu pada Jumaat. - Foto: Bernama
A
A
A

KLUANG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dimaklumkan mengenai keperluan kerajaan negeri Johor yang memerlukan kekuatan dan tenaga petugas tambahan memandangkan banjir yang melanda negeri itu secara relatifnya besar.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, buat masa ini, polis kontinjen Johor mempunyai keupayaan 4,000 lebih anggota yang bersedia untuk dikerahkan pada bila-bila masa.

"Itu 4,000 anggota yang tersedia dan sebentar tadi, saya ada berbincang dan memberi arahan terus kepada pimpinan polis negeri supaya bantuan itu dapat tiba dengan tepat pada masanya dengan misi utama untuk menyelamatkan nyawa.

"Kalau campur dengan agensi lain termasuk Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan agensi lain sebagainya (bawah) KDN, itu sebenarnya sudah lebih menghampiri 7,000 orang,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Kluang pada Jumaat

Bagaimanapun, Saifuddin Nasution berkata, sekiranya ada keperluan lain, KDN sedia mengatur gerak pasukan polis dari negeri-negeri yang tidak terjejas.

"Ini turut termasuk menurunkan semua aset polis atau agensi lain bawah KDN seperti kenderaan pacuan empat roda, lori, bot pelampung dan tali penyelamat dan sebagainya bagi memudahkan operasi penyelamatan,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika mesyuarat kabinet pada Jumaat telah mengarahkan menteri yang tidak mempunyai jadual penting supaya segera turun bagi melihat sendiri keadaan banjir di Johor dan membuat laporan langsung kepada beliau. - Bernama