Perkhidmatan aerotrain KLIA dihentikan sementara

Insiden membabitkan aerotrain terkandas kira-kira 3 petang di KLIA pada Rabu. - Foto tangkap layar video awam
Insiden membabitkan aerotrain terkandas kira-kira 3 petang di KLIA pada Rabu. - Foto tangkap layar video awam
A
A
A

SEPANG - Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi atau aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dihentikan sementara bermula Khamis atas faktor keselamatan.

Pengarah Urusan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB), Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, keputusan tersebut diambil susulan insiden membabitkan aerotrain terkandas kira-kira 3 petang di KLIA pada Rabu, membabitkan 114 penumpang.

"Susulan keputusan menggantung operasi tren tersebut sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kemudian, sebanyak 18 buah bas perantara akan disediakan untuk kemudahan penumpang.

"Bas tersebut akan beroperasi sepanjang masa bagi mengambil dan menurunkan penumpang dari balai pelepasan ke terminal satelit,” katanya pada sidang media di KLIA di sini pada Khamis.

Dalam insiden itu, katanya, sebuah aerotrain telah terhenti secara tiba-tiba di atas landasan dan sebuah lagi aerotrain yang sepatutnya digunakan bagi membantu membawa penumpang turut mengalami masalah teknikal, sehingga menyebabkan kesemua 114 penumpang terpaksa berjalan kaki sejauh 400 meter ke terminal satelit.

Iskandar Mizal berkata, kejadian itu merupakan insiden kedua penumpang terpaksa berjalan di atas landasan disebabkan masalah teknikal tren berkenaan, sejak mula beroperasi 25 tahun lepas.

Beliau berkata, bantuan sewajarnya termasuk penginapan dan tiket penerbangan telah diberikan kepada 10 penumpang yang tertinggal penerbangan akibat insiden tersebut.

Dalam pada itu, Iskandar Mizal berkata, kerja-kerja pembaharuan perkhidmatan itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dengan kos RM700 juta.

"Lapangan terbang ini merupakan lapangan terbang ‘hidup’ dan tertakluk kepada ketetapan di mana operasi akan terus berjalan manakala pembinaan aerotrain baharu juga harus diteruskan,” katanya yang turut memohon maaf atas kejadian tersebut. - Bernama