Kolaborasi Hino, Yamato lahirkan pemandu berhemah

KITAOKA (empat dari kiri) ketika melancarkan program Ujian Kecenderungan Memandu dan Latihan Keselamatan Pemandu di HTSCC Bandar Sri Sendayan. baru-baru ini.
A
A

PENIAGA sah Hino Motors Sales (Malaysia) Sdn Bhd (HMSM) melancarkan satu program latihan pemanduan selamat iaitu Ujian Kecenderungan Memandu dan Latihan Keselamatan Pemandu baru-baru ini.

Program latihan dengan kerjasama Yamato Transport Malaysia Sdn Bhd (YTM) itu bakal beroperasi secara langsung di Pusat Sokongan Menyeluruh Hino (HTSCC) di Sendayan.

HMSM yang mula ditubuhkan sejak 1977, berpegang kepada prinsip Total Support iaitu memberi sokongan penuh kepada pelanggan bagi memastikan setiap pembelian kenderaan berat Hino menyumbang kepada peningkatan prestasi perniagaan para pelanggan. Sehubungan itu, penubuhan HTSCC bertujuan menyediakan program latihan yang memberi penekanan terhadap cara pemanduan selamat dan cekap tenaga bagi meningkatkan jangka hayat serta mengurangkan kos kitaran hayat kenderaan.

Hino melaksanakan program latihan itu bagi pengendali dan pengusaha industri logistik serta pengangkutan di Malaysia berikutan minat mereka dalam latihan pemanduan selamat yang menggalakkan. Pengarah Urusan Yamato Transport Malaysia, Takeshi Kitaoka berkata, YTM juga memperkukuhkan penubuhan jurulatih dalaman bagi menambah baik kemahiran mereka.

“Dalam usaha ke arah pembangunan keselamatan jalan raya di Malaysia, kedua-dua buah syarikat telah mengambil inisiatif bagi memperkukuhkan operasi keselamatan kenderaan dalam industri logistik dan pengangkutan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran. Program latihan itu dilaksanakan di HTSCC merangkumi ciri-ciri keselamatan yang terdiri daripada kombinasi ujian kecenderungan memandu, latihan kuliah dan pemanduan praktikal.

Kitaoka berkata, latihan itu adalah bertujuan meningkatkan pemahaman, kesedaran dan kemahiran memandu berdasarkan gaya pemanduan si pemandu. Pegawai bertugas khususnya akan menggunakan keputusan kualitatif Ujian Kecenderungan Memandu dan memberi konsultasi melalui latihan kuliah serta menyampaikan pemahaman dan kesedaran mengenai pemanduan selamat, kata beliau.

"Keputusan ujian dan latihan juga akan dimaklumkan kepada pemandu dan pengusaha sebagai rujukan untuk mereka memperbaiki gaya pemanduan," ujarnya.