Dakwaan projek RM700 juta, kes diserah kepada SPRM

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Laporan mengenai dakwaan pembabitan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dengan sebuah syarikat yang didakwa menerima projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus daripada kerajaan negeri diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kes itu dirujuk kepada SPRM kerana ia melibatkan elemen rasuah.

"Setakat ini ada satu laporan polis diterima membabitkan kes terbabit.

"Kes itu kita (polis) telah rujuk kepada SPRM untuk tindakan lanjut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Khamis.

Pada Rabu, Perikatan Nasional (PN) Selangor menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat pembabitan Amirudin dengan sebuah syarikat didakwa dianugerahkan projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus oleh kerajaan negeri itu.

Gesaan siasatan itu dijalankan selepas tular di media sosial semalam mendakwa Amirudin menyalah guna kuasa dan konflik berkepentingan dengan menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar bagi menganugerahkan projek terbabit kepada syarikat berkenaan.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Parti Hijau Malaysia, Abdul Razak Ismail menerusi laporan portal berita dipetik berkata syarikat Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB) dianugerahkan projek Gerbang Maritim Selangor, yang membabitkan pembersihan sungai dan pembangunan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer dari Mid Valley City di Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, yang dikatakan menelan belanja RM700 juta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!