Masih banyak perlu diperbaiki - Nafuzi

Fazrul Danel (kiri) menjaringkan gol tunggal KDA FC pada penghujung perlawanan untuk menewaskan Terengganu FC 1-0 di Alor Setar pada malam Rabu. - Foto Malaysian Football League
Fazrul Danel (kiri) menjaringkan gol tunggal KDA FC pada penghujung perlawanan untuk menewaskan Terengganu FC 1-0 di Alor Setar pada malam Rabu. - Foto Malaysian Football League
A
A
A

KEJAYAAN mencatatkan dua kemenangan berturut-turut pada saingan Liga Super 2023 dengan memungut enam mata tidak boleh meletakkan Kedah Darul Aman (KDA) dalam keadaan selesa kerana masih banyak yang perlu diperbaiki.

Ketua Jurulatihnya, Nafuzi Zain mengakui perjalanan liga masih panjang malah kejayaan menang tipis 1-0 ke atas Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Aman pada malam Rabu menyaksikan corak permainan belum mencapai tahap yang diharapkannya.

Menurutnya, Sang Kenari yang sebelum ini menjinakkan Perak FC 1-4 pada aksi pertama Liga Super sebelum meneruskan momentum kemenangan ke atas TFC perlu terus meningkatkan lagi prestasi menjelang aksi seterusnya menerima kunjungan PDRM pada malam Sabtu.

"Masih terlalu awal menentukan hala tuju permain (dan pasukan pada Liga Super 2023). Ada 22 aksi lagi, masih jauh perjalanan. Tapi walaupun dua perlawanan kami dapat enam mata, bagi saya sendiri ini bukan yang saya nampak dan apa yang ingin dipersembahkan.

"Tapi tidak berlaku sepanjang masa. Ada di sesetengah waktu perlawananan sahaja, kita kena perbaiki lagi benda itu," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.

Jaringan Fazrul Danel Nizam pada penghujung separuh masa kedua perlawanan menghadiahkan tiga mata berharga kepada KDA FC selepas kedua-dua pasukan pasukan sebelum itu buntu untuk mendapatkan gol.

Mengulas lanjut, Nafuzi mengakui pertukaran beberapa pemain pada separuh masa kedua berjaya memberi kelebihan kepada pasukan untuk mengubah taktikal permainan.

"Kita tahu pemain mampu bermain lebih baik dan saya tahu kemampuan pasukan ini sebab kesebelasan pertama sudah penat.

"Mungkin perkara ini disebabkan persekitaran yang berbeza daripada peminat, sesetengah pemain tak merasai suasana sebegini dan pemain masih gugup," katanya menghargai kehadiran 21,700 penyokong setia KDA FC yang memenuhi stadium.

Ujarnya, kemenangan kedua yang diperolehi itu akan meningkatkan lagi keyakinan pasukannya terutamanya pemain muda.

Pada perlawanan tersebut, Amirbek Juraboev dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan selepas mempamerkan aksi terbaik sehingga berjaya membantu Sang Kenari keluar sebagai pemenang.