PDRM sokong penuh dasar 'Kill Switch'

Noorsiah
Noorsiah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah menguatkuasakan dasar ‘Kill Switch’ kepada semua institusi perbankan bagi membolehkan pengguna mengambil tindakan segera membekukan akaun mereka sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan disambut baik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pendekatan ini juga telah digunakan di negara lain seperti Singapura.

"PDRM menyokong penuh pendekatan ini dan yakin dapat mengelakkan individu atau mangsa penipuan mengalami kerugian lebih besar.

"Orang awam dinasihat agar sentiasa berhati-hati dengan panggilan, pautan (link) atau aplikasi telefon yang diterima daripada pihak tidak dikenali," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, masyarakat diingatkan untuk tidak berkongsi sebarang maklumat peribadi termasuk maklumat perbankan seperti nombor kad ATM, ID pengguna, kata laluan perbankan serta nombor kod pengesahan transaksi (TAC) kepada mana-mana pihak.

Katanya, segera hubungi bank atau National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika menyedari telah menjadi mangsa penipuan dalam talian.

"Orang ramai juga boleh membuat semakan akaun bank dan nombor telefon yang terlibat dengan jenayah penipuan di https://semakmule.rmp.gov.my.

"Layari akaun media sosial rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM dan Cyber Crime Alert RMP untuk maklumat terkini jenayah komersial," ujarnya.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia di Dewan Rakyat telah mengumumkan dasar 'Kill Switch' oleh pemilik akaun bank bagi membanteras penipuan dalam talian.

Langkah tersebut bertujuan menangani jenayah penipuan dalam talian atau ‘scam’ yang semakin parah di negara ini.