Projek naik taraf, pembesaran LTAPP mula tahun ini

Anthony Loke (kanan) bersama Kon Yeow menunjukkan imej LTAPP pada sidang akhbar di Komtar.
Anthony Loke (kanan) bersama Kon Yeow menunjukkan imej LTAPP pada sidang akhbar di Komtar.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerja pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) akan dilaksanakan pada tahun ini dalam menangani masalah peningkatan jumlah penumpang di lapangan terbang tersebut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, susulan daripada pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Bajet 2023 lalu, kerja pembesaran tersebut akan dijalankan selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini.

Menurutnya, kerja pembesaran LTAPP itu telah tertangguh selama dua tahun susulan penukaran kerajaan pada tahun 2020.

"Semua pembiayaan untuk kerja pembesaran ini akan ditanggung Malaysia Airports Holdings Sdn Bhd (MAHB) tanpa peruntukkan daripada kerajaan melalui mekanisme kewangan yang akan dipersetujui Kementerian Kewangan dengan MAHB.

"LTAPP adalah lapangan terbang ketiga paling sibuk di Malaysia dengan kapasiti 6.5 juta penumpang setiap tahun. Kerja pembesaran LTAPP yang terakhir dijalankan pada 2009 dan siap pada 2013 dengan jumlah kapasiti yang dapat ditampung ketika itu adalah 6.2 juta," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di Komtar di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan beberapa barisan Exco Kerajaan Pulau Pinang.

Terdahulu, Anthony mengadakan lawatan kerja rasminya ke Pulau Pinang dengan meninjau operasi perkhidmatan awam di negeri itu termasuk melawat LTAAP dan menaiki feri sebelum pulang ke ibu negara menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS).

Kata Anthony , kapasiti pada 2013 telah direkodkan naik sehingga 6.5 juta dan semakin meningkat sehingga 8.33 juta pada 2019.

"Selepas sempadan negara dibuka semula pada April 2022, kapasiti penumpang direkodkan 4.27 juta. Pada tahun ini, kita menjangkakan jumlah penumpang akan meningkat satu kali ganda iaitu 6.5 juta ke 12 juta.

"Oleh itu, kerajaan merasakan ada keperluan mendesak untuk mempercepatkan kerja pembesaran LTAPP ini. Oleh demikian, MAHB akan mempercepatkan proses tender terbuka dan ia dijangka akan dilakukan dalam tempoh dua bulan.

"Semua kerja-kerja ini perlu bermula pada tahun ini juga atau sebelum hujung tahun ini," katanya.

Tambah beliau lagi, kerja pembesaran LTAPP itu hanya melibatkan kawasan sedia ada tanpa memerlukan kerja penambakan laut atau pengambilan tanah sekolah berdekatan.

"Projek pembesaran dan menaik taraf LTAPP itu akan menggunakan reka bentuk dan pelan yang sama seperti dalam kebenaran merancang yang diluluskan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 2019.

"Selepas kerja pembesaran dan menaik taraf ini yang dijangka siap dalam tempoh tiga hingga empat tahun ini, sekiranya kapasiti penumpang melebihi jangkaan iaitu 12 juta, kita akan lihat kepada kajian yang akan dilakukan selepas itu berhubung perkara tersebut. Projek ini adalah fasa pertama," katanya.

Dalam perkembangan lain, Anthony mengesahkan bahawa sehingga kini, kementerian belum menerima permohonan Lesen Pengendali Aerodrom (AOL) bagi projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dirancang dibina di Kedah.