Banjir di Johor semakin buruk

Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Sri Rambai Machap, Simpang Renggam pada Rabu. - Foto bomba
Anggota bomba membantu memindahkan mangsa banjir di Kampung Sri Rambai Machap, Simpang Renggam pada Rabu. - Foto bomba
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keadaan banjir di negeri ini bertambah teruk apabila 5,878 orang daripada 1,575 keluarga dipindahkan ke 54 pusat pemindahan sementara ( PPS) setakat jam 12 tengah hari pada Rabu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani memberitahu, jumlah itu mencatatkan peningkatan sekali ganda berbanding 2,162 orang daripada 581 keluarga direkodkan pada sebelah pagi.

Menurutnya, daerah terjejas akibat banjir adalah Segamat, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Pontian dan Kulai manakala Kluang terus mencatatkan bilangan mangsa paling ramai membabitkan 1,952 orang daripada 518 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS.

"Seterusnya Segamat melibatkan 1,431 mangsa banjir daripada 419 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS. Daerah Kota Tinggi pula merekodkan seramai 1,156 orang daripada 259 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS.

Mangsa banjir di Kampung Sri Rambai Machap, Simpang Renggam dibantu oleh anggota bomba ke PPS pada Rabu.
Mangsa banjir di Kampung Sri Rambai Machap, Simpang Renggam dibantu oleh anggota bomba ke PPS pada Rabu.



"Sementara di Johor Bahru pula merekodkan seramai 1,004 mangsa daripada 296 keluarga, dengan sembilan PPS beroperasi. Di Kulai pula, 320 mangsa daripada 80 keluarga ditempatkan di lima PPS.

"Pontian pula menjadi daerah terbaharu terjejas banjir apabila 15 mangsa banjir daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan ( SK) Kampung Melayu," katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat berterusan melanda negeri ini sehingga Khamis.

"Terdapat 11 sungai di Segamat, Kluang, Kulai, Pontian dan Johor melebihi paras bahaya dengan tahap amaran merah. Antaranya sungai Segamat, Sungai Lenik, Sungai Labis, Sungai Skudai dan Sungai Pontian Besar," katanya.

Sementara itu, Azmi berkata, lima jalan utama masing-masing dua di Kluang dan Segamat selain satu di Johor Bahru turut ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air.

Anggota bomba turut mengawal keadaan ketika kerja-kerja memindahkan mangsa banjir di Kampung Sri Rambai Machap, Simpang Renggam pada Rabu. - Foto: Bomba
Anggota bomba turut mengawal keadaan ketika kerja-kerja memindahkan mangsa banjir di Kampung Sri Rambai Machap, Simpang Renggam pada Rabu. - Foto: Bomba



"Ia membabitkan Jalan Kluang-Mersing (Ladang Greenway FT050) di Kluang.

"Bagaimanapun Jalan Mohd Salim (FT172) di Kluang yang dinaiki air bah hampir satu meter hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.

"Di Segamat pula, Jalan Bekok (J150) dan Jalan Kampung Tenang (J151)yang dinaiki air bah hampir satu meter, masih ditutup kepada semua jenis kenderaan, manakala Jalan Masai Lama Seksyen 21 (J10) ditutup sepenuhnya kerana tanah runtuh," katanya.