S P Setia capai jualan RM4.11 bilion, lebihi sasaran

Projek Setia Alamsari di Kajang yang akan dilancarkan tahun ini akan mengetengahkan koleksi Andra membabitkan pembinaan kediaman teres dua tingkat. - Gambar kecil: Kai Wai
Projek Setia Alamsari di Kajang yang akan dilancarkan tahun ini akan mengetengahkan koleksi Andra membabitkan pembinaan kediaman teres dua tingkat. - Gambar kecil: Kai Wai
A
A
A

KUMPULAN syarikat pemaju hartanah, S P Setia Bhd (S P Setia) merekodkan jumlah jualan mencapai RM4.11 bilion pada tahun kewangan 2022, melebihi sasaran sebanyak RM110 juta.

Pencapaian jualan yang kukuh itu diterjemahkan daripada lonjakan pendapatan sebanyak RM4.45 bilion dan keuntungan sebelum cukai yang membanggakan iaitu sebanyak RM564.1 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Bhd, Datuk Choong Kai Wai berkata, pihaknya gembira dengan jualan yang direkodkan kerana ia menunjukkan daya tahan dan sifat serba boleh pasukan S P Setia dalam menavigasi syarikat dalam mendepani pasaran hartanah global yang lemah.

"Jumlah jualan yang dijamin adalah sebahagiannya dilengkapkan dengan usaha bersepadu untuk menjelaskan inventori yang telah siap berjumlah RM622.0 juta dalam nilai jualan.

"Sehingga 31 Disember 2022, kumpulan memperoleh jualan tambahan dalam perancangan sebanyak RM385 juta," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Dengan pencapaian itu, S P Setia mengisytiharkan dividen akhir sebanyak 1.47 sen sesaham dan dividen keutamaan sebanyak 6.49 peratus dan 5.43 peratus untuk Saham Keutamaan Boleh Tukar Boleh Tebus Islam A dan C masing-masing untuk tahun kewangan tersebut.

Kai Wai memberitahu, projek tempatan menyumbang RM3.58 bilion atau kira-kira 87 peratus daripada jualan manakala projek antarabangsa menyumbang RM525 juta atau kira-kira 13 peratus daripada jualan.

"Untuk projek tempatan, jualan diperoleh terutamanya dari wilayah tengah dengan RM2.54 bilion. Wilayah selatan menyumbang RM615 juta manakala wilayah utara dan timur menyumbang RM322 juta.

"Bagi projek antarabangsa, Stesen Janakuasa Battersea (BPS) mengatasi prestasi dengan jualan RM424 juta, manakala Australia menyumbang RM43 juta lagi," ujarnya lagi.

Di Pulau Pinang, Setia Fontaines menyasarkan untuk melancarkan Amansara Utara Fasa 3 melibatkan pembinaan rumah teres setingkat dan dua tingkat pada suku kedua tahun ini.
Di Pulau Pinang, Setia Fontaines menyasarkan untuk melancarkan Amansara Utara Fasa 3 melibatkan pembinaan rumah teres setingkat dan dua tingkat pada suku kedua tahun ini.

Mengulas lanjut, Kai Wai menjelaskan, menerusi pelaburan dalam BPS, S P Setia melakar satu lagi pencapaian besar dengan kejayaan pembukaan rasmi bangunan stesen janakuasa ikonik yang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong pada Oktober 2022.

Menurutnya, bagi projek di dalam negeri pada suku keempat 2022, jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) yang dicatatkan S P Setia adalah sekitar RM1.36 bilion dan kebanyakannya tertumpu di wilayah tengah.

"Projek dari perbandaran matang seperti Setia Eco Park, Bandar Kinrara and Bandar Setia Alam yang dilancarkan telah habis dijual sepenuhnya.

"Pelancaran hartanah komersial sulung Kumpulan di Setia Alamsari mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kadar pengambilan sebanyak 80 peratus," tambahnya.

Kai Wai memaklumkan, susulan itu pihaknya meletakkan sasaran jualan berjumlah RM4.2 bilion bagi tahun kewangan 2023, mewakili kadar pertumbuhan lima peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Disokong oleh jualan belum dibil sebanyak RM7.3 bilion, 47 projek yang sedang dibangunkan dan baki simpanan tanah seluas 2,658 hektar dengan GDV RM121.02 bilion setakat 31 Disember 2022, kami menjangka perniagaan kekal berdaya tahan menghadapi cabaran pasaran semasa," kata beliau.

ENDS