Penyokong barakan semangat Kedah berdepan Terengganu

Nafuzi (dua dari kanan) mengakui kemenangan 1-4 ke atas Perak FC membakar semangat pemain KDA FC untuk meneruskan momentum dalam saingan Liga Super 2023. - Foto KDA FC
Nafuzi (dua dari kanan) mengakui kemenangan 1-4 ke atas Perak FC membakar semangat pemain KDA FC untuk meneruskan momentum dalam saingan Liga Super 2023. - Foto KDA FC
A
A
A

SOKONGAN padu penyokong setia Kedah Darul Aman (KDA) FC yang bakal memenuhi Stadium Darul Aman menjadi pembakar semangat Sang Kenari untuk meraih tiga mata penuh ke atas Terengganu FC pada malam Rabu.

Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain berkata, aksi kedua Liga Super 2023 dilihat berbeza dan pemainnya pasti bakal berdepan tugas sukar kerana Sang Penyu baru sahaja tewas 2-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) perlawanan pertama dan perebutan Piala Sumbangsih 2023.

Menurutnya, kemenangan 1-4 ke atas Perak FC memberikan permulaan baik kepada Sang Kenari pada Sabtu lalu, namun kualiti dan pengalaman yang dimiliki oleh Terengganu FC adalah berbeza.

"Saya yakin dengan kemampuan pemain saya terutamanya bermain di tempat sendiri dan kita tahu kita mendapat sokongan yang padu daripada penyokong sendiri.

"Pasukan juga tak nak mengecewakan penyokong yang telah meletakkan harapan tinggi tahun ini termasuk Tan Sri (Dr Mohd Daud Bakar) dan Ketua Pegawai Eksekutif (Khamal Idris Ali).

"Kita hanya perlu membalas dengan tiga mata dan kemenangan untuk mereka gembira," katanya pada sidang akhbar praperlawanan kedua Liga Super 2023 di Stadium Darul Aman pada Selasa.

Mengulas mengenai pertemuan dengan bekas pasukannya itu, Nafuzi mengakui teruja kerana 'bertembung' dengan ramai pemain tempatan yang pernah dilatih beliau sebelum ini.

Jelasnya, Terengganu FC muncul antara pasukan yang mempunyai persiapan rapi pada tahun ini selepas berjaya beraksi di pentas Piala AFC 2023.

"Yang penting kita kena betul-betul fokus dan bersedia sebaik minit pertama perlawanan bermula.

"Kita kalau tengok Terengganu FC tahun ini pun dari segi fizikal memang mereka lebih baik daripada kita jadi kita kena bersedia untuk dari segi hantaran bola tinggi. Kita tahu itu salah satu senjata Terengganu FC untuk musim ini," katanya lagi.