KBS mahu kurangkan kerenah birokrasi

Hannah berbual dengan peserta Hari Terbuka KBS di Putrajaya pada Selasa. - Foto FB KBS MALAYSIA
Hannah berbual dengan peserta Hari Terbuka KBS di Putrajaya pada Selasa. - Foto FB KBS MALAYSIA
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan untuk mengurangkan birokrasi dan mempermudah urusan terutamanya kepada pihak penganjur dalam mengelola acara serta program sukan menerusi Hari Terbuka KBS.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, langkah menganjurkan Hari Terbuka KBS itu, sebagai menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk semua agensi kerajaan mengurangkan birokrasi dan mempermudahkan urusan untuk rakyat.

Beliau berkata, hari terbuka itu juga selaras dengan harapannya supaya KBS berterusan dikenali sebagai kementerian mesra pelanggan, memandangkan kumpulan sasar mereka ialah golongan yang bergiat aktif dalam sukan.

"Penganjur sukan perlu dapatkan kelulusan dan orang ramai nak tengok sama ada program atau acara itu mendapat kebenaran ataupun tidak. Jadi bila masa yang diberikan untuk memohon permit itu panjang, ia membazir dan peluang itu hilang.

"Saya bagi contoh, kalau dalam setahun kita nak tunggu kebenaran tiga bulan sekali untuk dapatkan satu kebenaran, jadi bermaksud dalam setahun hanya boleh buat empat program, tetapi bila kita mudahkan penganjuran sukan boleh berlipat ganda kerana prosesnya cepat," katanya dalam sidang akhbar Hari Terbuka KBS di Menara KBS, Putrajaya pada Selasa,

Hannah berkata, beliau berharap dengan adanya hari terbuka itu semua persatuan sukan, kelab dan persatuan belia, tidak lagi ada alasan untuk tidak menganjurkan acara serta program sukan, selain mahukan mereka menganjurkan program berkaitan akar umbi, sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.

Pada masa sama, Hannah berkata, pihaknya akan menjemput Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk turut sama pada Hari Terbuka KBS seterusnya, yang mungkin akan dianjurkan di luar seperti di pusat membeli belah.

Sebanyak 14 kaunter perkhidmatan terdiri daripada jabatan dan agensi di bawah KBS serta beberapa agensi kementerian lain yang terlibat dalam kelulusan penganjuran acara sukan, dibuka di sini dari 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Selepas ini, Hari Terbuka KBS akan diadakan pada Jumaat pertama setiap bulan dengan objektif memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai dan proses kelulusan dipercepatkan, supaya dapat merancakkan penganjuran sukan sekali gus mengembangkan ekonomi dalam sektor sukan. - Bernama