Contohi mentaliti Azizulhasni

Hannah melihat juara dunia keirin 2017 itu seorang atlet yang sangat dahagakan kemenangan serta sering berusaha untuk memperbaiki diri. - Foto Awani
Hannah melihat juara dunia keirin 2017 itu seorang atlet yang sangat dahagakan kemenangan serta sering berusaha untuk memperbaiki diri. - Foto Awani
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Prestasi cemerlang jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang pada Piala Negara-Negara UCI di Jakarta, Indonesia baru-baru ini membuktikan karakter luar biasa dimiliki bekas juara dunia keirin itu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, karakter 'sang juara' yang dipamerkan Azizulhasni wajar dicontohi barisan atlet negara lain apabila setiap kali mereka bertanding di pentas antarabangsa.

“Ini mentaliti jaguh yang kita perlukan dalam setiap atlet. Apabila tengok Azizulhasni, dia betul-betul dahagakan untuk menang serta memperbaiki diri.

“Dia tak bagi alasan tapi dia akan guna kekurangan yang ada untuk memperbaiki diri dan ia sepatutnya ada dalam setiap jaguh sukan.

“Azizulhasni sangat cemerlang dalam aspek ini berbanding atlet lain.Saya berharap dia boleh bantu atlet lain untuk perjuangkan pemikiran yang sama,” katanya.

Hannah berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Hari Terbuka Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Menara KBS di Putrajaya pada Selasa.

Dalam aksi final keirin di Velodrom Antarabangsa Jakarta pada Sabtu lalu, Azizulhasni menyambar pingat perak selepas hanya dipisahkan 0.024 saat (s) di belakang juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen.

Kayuhan bertenaga The Pocket Rocketman boleh dianggap satu pencapaian cemerlang memandangkan dia baru kembali bersaing di pentas kompetitif - kurang setahun selepas menjalani pembedahan jantung.

Namun, impian pelumba berusia 35 tahun kelahiran Terengganu itu untuk memenangi kejayaan berganda di Jakarta tidak kesampaian apabila terkandas di peringkat suku akhir acara pecut susulan masalah kepenatan.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, pihaknya akan terus terus membantu Olahragawan Kebangsaan 2009, 2010, 2017, 2019/2020 dan 2021 itu dalam persediaannya menghadapi temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

“Dalam masa terdekat, kita akan umumkan jawatankuasa 'Road to Gold'. Bagi saya dua minggu, (KBS) akan memperkemaskan semuanya sebelum saya buat pengumuman nanti,” ujar Hannah.