Penjawat awam antara enam direman bantu kes rasuah

Enam suspek termasuk seorang wanita direman lima hari untuk membantu siasatan berhubung kegiatan rasuah di laut.
Enam suspek termasuk seorang wanita direman lima hari untuk membantu siasatan berhubung kegiatan rasuah di laut.
A
A
A

GEORGETOWN - Tujuh individu termasuk empat penjawat awam ditahan di Pulau Pinang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kegiatan rasuah di laut yang turut membabitkan beberapa agensi kerajaan.

Kesemua mereka termasuk seorang wanita yang berusia lingkungan 36 hingga 56 tahun itu ditahan di sekitar negeri ini antara jam 9 pagi hingga 10 malam, pada Isnin.

Bagaimanapun, seorang daripada mereka iaitu suspek lelaki dilepas dengan jaminan SPRM selepas kenyataannya direkodkan.

Sementara enam suspek lagi direman lima hari bermula Selasa sehingga 4 Mac ini untuk membantu siasatan.

Kesemua mereka tiba di pekarangan bangunan Kompleks Mahkamah Georgetown di sini dengan berpakaian lokap SPRM pada jam 10.30 pagi.

Suspek wanita dilihat menangis teresak-esak ketika mula turun dari kereta penguatkuasa SPRM sehingga di bawa ke kamar mahkamah sambil diiringi ahli keluarganya.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Azlan Basri di Mahkamah Majistret Georgetown selepas permohonan reman dilakukan SPRM.

Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta ‘runner’ sebagai balasan melindungi serta tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bot-bot nelayan yang melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 bagi tempoh antara 2015 hingga 2022.

Menurut sumber, dalam satu operasi khas iaitu Op Tunda, seramai 10 individu termasuk seorang wanita terdiri daripada lima penjawat awam dan lima orang awam berusia antara 26 hingga 57 tahun ditahan di Perlis, Kedah, Perak, Johor dan Kuala Lumpur antara jam 9 pagi hingga 1 tenga hhari pada Isnin.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009.