Scaloni kekal kendali Argentina hingga 2026

Scaloni dilanjutkan kontrak membimbing Argentina selama tiga tahun sehingga Piala Dunia 2026. - Foto AFP.
Scaloni dilanjutkan kontrak membimbing Argentina selama tiga tahun sehingga Piala Dunia 2026. - Foto AFP.
A
A
A

JURULATIH sensasi, Lionel Scaloni bersedia untuk mengemudi Argentina ke Piala Dunia 2026 selepas menandatangani kontrak baharu dengan La Albiceleste.

Lanjutan kontrak selama tiga tahun itu dimaklumkan oleh Persekutuan Bolasepak Argentina (AFA) pada Isnin.

Presiden AFA, Claudio Tapia dan Scaloni sudah pun mengadakan rundingan untuk memuktamadkan perjanjian tersebut.

Scaloni sebelum ini meluahkan hasrat untuk kekal membimbing Argentina.

Jurulatih berusia 44 tahun itu dengan bantuan pemain sensasi, Lionel Messi menjulang Argentina untuk merangkul Piala Dunia di Qatar pada 2022.

Messi meledak tujuh gol menjadi penggerak utama kejayaan Argentina di Doha tahun lalu, ketika Scaloni merangkul hadiah kedua sebagai jurulatih Argentina, selepas memenangi Copa America pada 2021.

Menerusi kontrak baharu itu, Scaloni akan mengendalikan Argentina pada Copa America tahun depan dan Piala Dunia tiga tahun lagi.

Amerika Syarikat akan menjadi tuan rumah bagi kejohanan Copa America dan Piala Dunia 2026, ketika Mexico dan Kanada juga menjadi hos bersama untuk kejohanan kedua.

Scaloni, yang sebelum berkhidmat bersama Newell's Old Boys, West Ham, Lazio dan Atalanta menjadi kelabnya sepanjang bergelar pemain selama 20 tahun.

Dia mengambil alih Argentina pada 2018 selepas berkhidmat sebagai jurulatih bawah 20 tahun negara itu.

Scaloni juga dinobatkan sebagai Jurulatih Lelaki Terbaik FIFA 2022, mengenepikan pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti dan pengurus Manchester City, Pep Guardiola di Paris awal pagi Selasa.