Bojan tidak kritik pengadil

Sathianathan
Sathianathan
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh meneliti untuk membuka ruang kepada jurulatih memberi pandangan berkaitan isu dan mutu pengadilan dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) ketika ini.

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan bagaimanapun berkata, peluang itu boleh dipertimbangkan dengan penetapan syarat tertentu demi kebaikan arena bola sepak negara.

Katanya, kritikan yang diberikan itu biarlah membina kerana pengadil adalah manusia dan tidak lari daripada membuat kesilapan.

“Kita harap jurulatih boleh beri pandangan tapi jangan kutuk pengadil. Mereka pun manusia buat kesilapan. Nak kritik kena kritik benda yang betul, jangan gunakan perkataan yang tidak baik.

“Perlu beri pandangan yang bernas, bukan kutukan atau kritikan melampau kepada pegawai perlawanan dan pengadil," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Pengendali Kuala Lumpur City (KL City), Bojan Hodak sebelum ini dilaporkan tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil yang menyaksikan pasukannya terpaksa berpuas hati berkongsi mata menentang Penang FC dalam perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras pada Sabtu.

Bojan juga menyuarakan hasrat untuk menghantar surat bantahan berhubung mutu pengadilan kepada FAM, biarpun sedar ia tidak akan dapat mengubah keputusan.

Pada masa sama Sathianathan juga berpandangan Bojan tidak mengkritik pengadil sebaliknya meluahkan rasa hatinya.

“Dalam kes Bojan (Hodak) dia tidak mengkritik pengadil. Cuma dia beritahu tidak boleh cakap tentang pengadil dan sebab-sebab mengapa dia tidak boleh komen pasal pengadil,” katanya.

Beliau menambah, sebarang bentuk bantahan rasmi berkaitan mutu pengadilan biasanya dibuat oleh ketua pegawai eksekutif atau presiden kelab.

“Jurulatih memang kita tahu selepas perlawanan mereka belum lagi tenang. Mereka panas dan mungkin kata-kata mereka akan menyinggung atau menyusahkan pihak lain,” katanya.