Saksi warga emas diragut diminta tampil

Tangkap layar video tular memaparkan satu kejadian ragut membabitkan seorang warga emas di Jalan Anggerik, Kampung Manjoi Tambahan dekat Ipoh.
Tangkap layar video tular memaparkan satu kejadian ragut membabitkan seorang warga emas di Jalan Anggerik, Kampung Manjoi Tambahan dekat Ipoh.
A
A
A

IPOH - Polis meminta pemilik kenderaan dan saksi kejadian kes ragut membabitkan seorang warga emas di Jalan Anggerik, Kampung Manjoi Tambahan di sini tampil membantu siasatan.

Satu rakaman video kejadian itu tular di media sosial Twitter pada Isnin dan telah menarik perhatian masyarakat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, rakaman berdurasi 33 saat itu memaparkan seorang wanita diragut beg tangan oleh penunggang motosikal dari arah belakang.

"Semakan polis mendapati, kejadian itu berlaku sekitar jam 9.39 pagi Sabtu lalu. Satu laporan polis turut diterima daripada mangsa," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Menurut beliau, antara barangan dilarikan suspek termasuklah wang tunai RM1,500 telefon bimbit dan dokumen peribadi.

"Mangsa berusia 63 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Yahaya berkata, polis sedang giat mengesan suspek yang masih bebas.

Katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian terutama pemandu dua kereta yang dilihat mengejar suspek untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun," katanya.