Lagi gempa bumi landa Turkiye

Beberapa bangunan turut musnah akibat gempa itu. Foto:AFP
Beberapa bangunan turut musnah akibat gempa itu. Foto:AFP
A
A
A
ANKARA / MALATYA - Sekurang-kurangnya seorang maut manakala 69 lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter menggegarkan wilayah timur Malatya Turkiye pada Isnin, kata Ketua Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Yunus Sezer.

Gempa bumi dilaporkan berlaku pada 12.04 tengah hari waktu tempatan (0904GMT) dan berpusat 6.96 kilometer (4.32 batu) di daerah Yesilyurt, lapor Agensi Anadolu.

Gegaran turut dirasai di wilayah Kahramanmaras, Gaziantep, Adıyaman, dan Sanliurfa.

"Beberapa bangunan turut musnah akibat gempa itu. Pasukan mencari dan menyelamat telah dihantar ke kawasan berkenaan,” menurut ciapan AFAD.

Agensi pengurusan bencana mengeluarkan amaran agar orang ramai tidak memasuki bangunan yang rosak dan meminta mereka menjauhi struktur berisiko di wilayah itu.

Gegaran itu berlaku selepas Türkiye dilanda dua gempa bumi dahsyat pada 6 Februari, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 44,374 orang. - Bernama