Malaysia, UK bincang kerjasama tangani isu buruh paksa

Sivakumar Varatharaju Naidu (kanan).
Sivakumar Varatharaju Naidu (kanan).
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dan United Kingdom (UK) telah mengadakan perbincangan lanjut mengenai kerjasama yang boleh dipelopori kedua-duanya dalam menangani isu pemerdagangan orang dan buruh paksa.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, ia diadakan ketika Perutusan Khas Kerajaan UK mengenai Migrasi dan Perhambaan Moden Andrew Patrick mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada 23 hingga 25 Februari lepas.

Menurut Sivakumar, Patrick menasihati industri sarung tangan getah tempatan untuk memantau amalan buruh paksa seperti elemen perhambaan hutang dalam rantaian perniagaan mereka susulan majikan atau khususnya pekerja asing dikenakan caj kos tersembunyi semasa proses pengambilan pekerja.

Dalam hal tersebut, katanya ,Kementerian Sumber Manusia bersetuju dengan pandangan beliau dan akan mengambil langkah segera untuk menggunakan teknologi blok rantai bagi tujuan pemantauan ketelusan proses pengambilan pekerja asing supaya bebas daripada elemen berkait rapat dengan perlakuan buruh paksa.

Sivakumar berkata, beliau dimaklumkan UK telah bersetuju untuk menawarkan peluang latihan dan bina upaya kepada pegawai Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia termasuk Sabah serta Sarawak dan juga kepada agensi penguatkuasaan lain.

"Satu lawatan susulan oleh pihak UK telah dijadualkan pada Mac kelak," katanya. - Bernama