Guan Eng minta Sanusi tarik balik kenyataan

Muhammad Sanusi dan Guan Eng
Muhammad Sanusi dan Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Dewan Rakyat kecoh seketika apabila bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyelar tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mempersoalkan keabsahan negeri Pulau Pinang dan didakwa mengapi-apikan sentimen ekstremis.

Guan Eng (PH-Bagan) berkata, beliau kesal dengan kenyataan Muhammad Sanusi kerana telah menyakitkan hati 1.7 juta rakyat Pulau Pinang Piang dengan meragui dan mempertikaikan kedaulatan negeri itu.

Sedangkan menurutnya, Perlembagaan Persekutuan telah memberi nyawa dan juga kuasa perundangan kepada Pulau Pinang sebagai negeri yang berdaulat di bawah kuasa 1(2) pelembagaan persekutuan.

“Atas pentas dan undang-undang apa Menteri Besar Kedah boleh meragui kedaulatan negeri Pulau Pinang? Beliau bukan pakar undang-undang.

“Beliau wajar mendapatkan nasihat daripada pakar perundangan sebelum membuka mulut menyerang kedaulatan Negeri Pulau Pinang

“Secara tidak langsung beliau mempertikaikan kuasa yang dipertua negeri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Saya rasa ini sudah melampau dan tidak bertanggungjawab. Saya harap rakan-rakan (Ahli Dewan Rakyat) boleh meminta beliau menarik balik tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab...saya minta beliau tarik balik tuduhan,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Kenyataan Guan Eng mengudang reaksi beberapa ahli Parlimen Kedah iaitu Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-SIK), Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) dan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang cuba memberi penjelasan setelah mendakwa Guan Eng cuba mengelirukan Dewan.

Awang bangkit bertanyakan adakah kerajaan masih membayar pajakan kepada kerajaan Kedah daripada perjanjian tahun 1869.

“Kalau bayar maksudnya kita boleh bincanglah,” katanya.

Guan Eng bagaimanapun berkata, Pulau Pinang tidak pernah membayar pajakan berkenaan sebaliknya bayaran dibuat oleh kerajaan Persekutuan.

Sekali lagi kenyataan tersebut mengundang kekecohan apabila Ahmad Tarmizi bangkit.

“Tak betul tu.. Bagan jangan kelirukan dewan. Pulau Pinang bayar pajakan,”katanya.

Guan Eng terus membidas bahawa Pulau Pinang menaikkan pajakan daripada RM10,000 kepada RM10 juta.

“Tapi sekarang kita bincang tentang keabsahan Perlembagaan Persekutuan...kenapa pertikaikan kedaulatan negeri?,”soalnya.

“Bukan pertikai kedaulatan negeri, kita pertikai pajakan...kita minta pajakan dinaikkan...jangan kelirukan dewan,”balas Ahmad Tarmizi.

Ku Abd Rahman turut bangkit mempertahankan fakta bahawa Pulau Pinang membayar pajakan kepada Kedah.

“Bagan, bayar pajakan bagi pihak Pulau Pinang...kerajaan Persekutuan bayar RM10,000 dulu dan RM10 juta sekarang bagi pihak kerajaan Pulau Pinang...ia masih pajakan,”katanya.

“Kita tak pertikai kedaulatan, kita pertikai, pajakan dinaikkan,”kata Awang.

Bagaimanapun situasi tegang ditenangkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong dengan membacakan peraturan-peraturan majlis mesyuarat Dewan Rakyat bahawa seseorang ahli tidak boleh mengganggu ahli yang sedang bercakap.

Muhammad Sanusi sebelum ini mengeluarkan kenyataan mengingatkan bahawa Pulau Pinang adalah negeri yang dipajak dari Kedah.

Katanya, fakta itu adalah berdasarkan sejarah, justeru Pulau Pinang tidak sepatutnya masuk campur dan menegur urusan pentadbiran kerajaan negeri.