90 kes pembalakan haram dikesan tahun lalu, Sarawak tertinggi

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 90 kes pembalakan haram direkodkan di seluruh negara tahun lalu dengan 60 kes berlaku di Sarawak sekali gus menjadi negeri tertinggi yang mencatatkan aktiviti itu.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, selain itu 11 kes direkodkan di Perak, Kelantan (10), Sabah (empat), Selangor (dua) serta masing-masing satu kes di Johor, Negeri Sembilan dan Pahang.

"Penjenayah yang melakukan kesalahan tersebut telah didakwa di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) di Semenanjung Malaysia, Ordinan Hutan 2015 (Bab 71) di Sarawak dan Enakmen Hutan 1968 (Sabah No. 2 Tahun 1968) di Sabah," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Che Alias Hamid (PN-Kemaman) yang ingin mengetahui kadar kes pembalakan haram di setiap negeri sejak 2022 serta keberkesanan penggunaan teknologi baharu seperti dron dalam mengurangkan aktiviti pembalakan haram.

Dalam pada itu, Nik Nazmi (PH-Setiawangsa) menjelaskan, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hutan Sarawak turut mengambil pendekatan penggunaan beberapa teknologi bagi mengatasi masalah berkenaan.

Teknologi terlibat antaranya sistem ‘Forest Monitoring using Remote Sensing‘ (FMRS) di Semenanjung, sistem ‘Continuous Monitoring of Surveillance’ (COMOS) di Sarawak serta sistem aplikasi iForSabah di Sabah bagi aspek pemantauan dan penguatkuasaan hutan.

"Sistem ini menggunakan teknologi Geographic Information System (GIS), penderiaan jarak jauh dan imej satelit beresolusi tinggi yang boleh mengesan sebarang perubahan dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

"Sistem ini membantu pasukan rondaan dan operasi penguatkuasaan untuk membanteras aktiviti kesalahan hutan di lapangan dengan maklumat lokasi yang lebih spesifik.

“Teknologi seperti dron juga digunakan bagi membantu membanteras jenayah hutan melalui pemantauan udara di lokasi-lokasi tertentu," jelasnya.