RMP pastikan tiada orang kelaparan

Seawal jam 12 tengah hari orang ramai akan mula beratur untuk mendapatkan makanan.
Seawal jam 12 tengah hari orang ramai akan mula beratur untuk mendapatkan makanan.
A
A
A

ALOR SETAR - Sejak beroperasi tiga tahun lalu, Rumah Makan Percuma (RMP) di Simpang Empat, Alor Setar, Kedah menjadi tumpuan masyarakat setempat setiap hari untuk menikmati juadah makan tengah hari.

Tiada syarat dikenakan malah sesiapa sahaja dialu-alukan untuk makan percuma di RMP tanpa mengira latar belakang.

Pengasas RMP merangkap Pengarah Urusan Bismi Empire, Mazlina Kamarudin berkata, RMP kali pertama beroperasi pada 6 Julai 2020 dengan kos operasi ditanggung oleh Syarikat Ayam Bismi dan juga hasil sumbangan orang ramai.

Katanya, RMP ditubuhkan untuk memastikan tiada masyarakat sekitar terpaksa mengikat perut kerana tiada wang untuk mendapatkan makanan.


RMP mula beroperasi sejak tiga tahun lalu untuk membantu masyarakat setempat.
RMP mula beroperasi sejak tiga tahun lalu untuk membantu masyarakat setempat.

“Saya bersandarkan pada satu hadis yang mengatakan kalau kita mengaku kita orang mukmin tapi jiran tetangga kita ada yang kelaparan sedangkan kita pula tidur dalam keadaan kekenyangan maka kita bukan dalam kalangan orang mukmin.

“Hadis ini telah menjentik hati saya untuk membuka RMP demi memastikan penduduk sekitar turut menerima manfaat daripada rezeki yang ALLAH SWT kurniakan kepada saya hari ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, usaha yang dilakukan itu diharapkan menjadi inspirasi kepada orang lain untuk turut mengambil inisiatif sama membantu masyarakat setempat.

“Saya bukan nak kata apa yang saya buat ini baik, tetapi jika kita berkemampuan kita juga harus membantu jiran tetangga.

“Apatah lagi kos sara hidup ketika ini semakin meningkat menyebabkan ada kalangan saudara kita yang terkesan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus RMP, Nuradlin Adlina Fadzil, 26, berkata, premis berkenaan beroperasi setiap hari kecuali Sabtu bermula jam 12 tengah hari sehingga makanan habis.

Nuradlin Adlina (kanan) membantu pekerja RMP melayani pengunjung.
Nuradlin Adlina (kanan) membantu pekerja RMP melayani pengunjung.

“Menu utama yang kita sediakan adalah lauk ayam, sayur dan ulam-ulaman, selalunya sekitar jam 1.30 tengah hari makanan sudah habis,” katanya.

Ujarnya, selain penduduk tempatan, RMP turut dikunjungi oleh pengunjung daripada luar Kedah.

“Ada yang mai bertanya dulu kalau ada syarat tertentu untuk makan di sini, sebab depa takut ingatkan untuk asnaf sahaja.

“Tapi dekat sini, selagi ada makanan, sesiapa sahaja boleh mai makan, asalkan makan di sini, tak dibawa pulang,” katanya.

Tukang masak, Azura Zainol menyediakan masakan lemak cili padi ayam untuk dinikmati pengunjung RMP.
Tukang masak, Azura Zainol menyediakan masakan lemak cili padi ayam untuk dinikmati pengunjung RMP.

Nuradlin berkata, setiap hari mereka akan memasak masing-masing 60 kilogram beras dan ayam untuk menampung 550 orang pengunjung.

“Insya-ALLAH untuk bulan puasa ini kami masih teruskan operasi cuma akan dibuat secara bungkus dan mula diedar bermula jam 5 petang,” katanya.

Dalam pada itu, seorang suri rumah, Norazila Hashim,43 dari Kampung Paya Lipai Sungai Tiang, Pendang merupakan pengunjung tetap RMP bersama tiga anaknya.

“Kalau tak masak di rumah, kat sini la saya selalu bawa anak-anak mai makan, lauk pun sedap anak- anak suka.

“Hari ini kami makan ayam masak lemak cili api, dari segi rasa memang nampak depa masak dengan ikhlas nak jamu orang ramai,” katanya.

Pengunjung mengambil minuman yang disediakan.
Pengunjung mengambil minuman yang disediakan.

Bagi warga emas, Tony Lok, 78, dia lebih gemar makan di situ kerana tidak masak di rumah memandangkan hanya tinggal berdua bersama isterinya.

“Hari-hari mai makan sini, senang tidak perlu masak di rumah.

“Boleh jumpa kawan-kawan seronok juga, lagipun sudah tua makan pun tak banyak dah,” katanya.

Kepada orang ramai yang berhasrat untuk turut menyumbang di RMP, mereka boleh berhubung dengan RMP di WhatsApp 011-10859060.