Belanjawan 2023: Pacu KPM tingkat taraf pendidikan negara

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat menerusi Belanjawan 2023 pada Jumaat dilihat mampu memacu komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meningkatkan lagi kualiti infrastruktur sedia ada di sekolah.

KPM dalam kenyataan pada Ahad berkata, melalui belanjawan tersebut, antara fokus utama KPM adalah meningkatkan taraf pendidikan negara selain memelihara kebajikan guru serta murid.

"KPM menyambut baik pengumuman Belanjawan 2023 yang menyaksikan sektor pendidikan terus diberi keutamaan oleh kerajaan.

"Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pada 24 Februari lepas jelas mencerminkan prinsip Malaysia Madani yang memelihara kesejahteraan rakyat dan negara," katanya.

Menurut kenyataan itu, KPM menerima peruntukan tertinggi iaitu RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada tahun lepas.

Jelas KPM, daripada jumlah keseluruhan itu, RM2.3 bilion bagi membina infrastruktur dan kemudahan pembelajaran terbaik di sekolah-sekolah termasuk RM920 juta untuk menaik taraf bangunan serta infrastruktur 380 buah sekolah daif seluruh negara khususnya di Sabah dan Sarawak melalui kaedah perolehan khas.

"Selain RM900 juta untuk kerja-kerja menyelenggara kemudahan semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)," katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, sebanyak RM560 juta diperuntukkan untuk pembinaan tujuh sekolah baharu, antaranya SK Paya Dusun di Terengganu; SMK Denai Alam di Selangor;SMK Nabalu di Sabah dan SMK Dudong di Sarawak.

Menurut KPM, peruntukan itu juga bagi melengkapkan sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas dengan kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) selain RM15 juta bagi menyokong usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan kelas pemulihan untuk anak-anak yang masih tercicir dalam pembelajaran.

Jelas kenyataan itu, KPM juga menerima peruntukan RM777 juta berbanding RM625 juta pada tahun lepas untuk menyediakan makanan berkhasiat di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang memanfaatkan 700,000 murid.

Tambah KPM, RM108 juta pula diperuntukkan untuk Program Makanan Prasekolah di bawah kementerian tersebut yang akan memanfaatkan lebih 240,000 murid.

"KPM juga akan membuat pemantauan ke atas penyedia makanan dalam memastikan makanan yang disediakan adalah berkualiti dan berkhasiat," ujarnya.

Menurut kenyataan itu lagi, KPM komited untuk mengatasi isu kemiskinan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak sekolah melalui program-program.

Tambah KPM, selari dengan arus pemodenan, keperluan pengajaran dan pembelajaran guru perlu segera beradaptasi dengan teknologi digital maka bagi tahun ini kerajaan juga akan membekalkan sekolah dan institusi pendidikan KPM dengan 50,000 buah komputer riba.

"Bagi memupuk perpaduan di samping mengangkat peranan ibu bapa, komuniti dan NGO dalam pembangunan anak-anak di sekolah, RM20

juta diperuntukkan bagi perlaksanaan program gotong-royong di semua sekolah seluruh negara.

"Kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM20 juta kepada tiga buah agensi bagi menggalakkan aktiviti terjemahan dan penerbitan, yang mana dua adalah di bawah KPM iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)," jelasnya.

Tambah kenyataan itu, KPM menggalas tanggungjawab yang besar dalam memastikan setiap perbelanjaan daripada peruntukan Belanjawan 2023 dapat memberi impak yang optimum kepada pembangunan pendidikan negara menerusi tujuh teras yang telah digariskan.