'Rumah dah siap tapi tidak boleh duduk'

Penerima PPR Jerlun memohon pihak berkaitan agar membantu mempercepatkan mereka menerima kunci rumah selepas menunggu sekian lama.
Penerima PPR Jerlun memohon pihak berkaitan agar membantu mempercepatkan mereka menerima kunci rumah selepas menunggu sekian lama.
A
A
A

JERLUN - Penerima Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jerlun di Ayer Hitam, dekat sini merayu kepada pihak berkaitan agar dapat mempercepatkan proses serahan kediaman tersebut selepas menunggu sekian lama.

Projek yang difahamkan telah siap sejak Julai 2019 itu dan mempunyai 630 buah rumah masih belum diserahkan sehingga kini dan penerima mendakwa sudah ada mereka yang telah membuat bayaran namun masih belum menerima kunci rumah.

Seorang penerima, Nor Syakini Md Desa, 44 berkata, suaminya, Sarif Zalnom Sarif Abidin, 47, telah mengeluarkan duit simpanan dan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli rumah tersebut.

“Suami keluarkan duit simpanan dan KWSP untuk beli rumah ini secara tunai berjumlah lebih kurang RM42,000. Kami sudah bayar habis tetapi sampai sekarang tidak tahu boleh tinggal di sini. Kunci pun belum dapat.

“Kami harap sangat ada pihak yang sudi membantu kami semua. Kami bukan orang senang. Harap dapat masuk pada Ramadan ini,” katanya.

Nor Syakini adalah sebahagian daripada 150 peserta PPR berkenaan yang berhimpun di kawasan perumahan itu pada petang Jumaat yang menzahirkan rasa kecewa kerana masih belum menerima kunci rumah.

Seorang lagi penerima, Siti Hasnah Saad, 58, pula bimbang kelewatan menerima kunci rumah tersebut bakal mengakibatkan dia hilang kelayakan mendapatkan pinjaman pembiayaan bank.

“Saya sudah empat tahun tunggu. Rumah dah siap tapi tidak boleh duduk lagi. Kami tak tau apa sebab. Keadaan rumah pun sudah semakin teruk dan ada yang rosak sebab kawasan ini jadi sasaran penagih dadah.

Penerima PPR Jerlun melihat keadaan rumah yang telah dipenuhi semak samun.
Penerima PPR Jerlun melihat keadaan rumah yang telah dipenuhi semak samun.

“Kalau tunggu lama saya bimbang nak dapatkan pinjaman pun makin susah sebab umur sudah lanjut,” ujarnya yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pejabat, dekat sini.

Bagi Mohd Azmi Othman, 39, yang bekerja sebagai pemandu jentera berat, dia sedih melihat keadaan rumah yang semakin rosak dan dipenuhi semak-samun.

Menurutnya, rata-rata penerima PPR Jerlun itu buntu memikirkan masalah tersebut dan sehingga kini masih belum menerima jawapan jelas daripada pihak berkaitan.

“Saya cabut undi pada Julai 2021 dan sekarang sudah 2023 tapi masih belum dapat duduk rumah lagi. Rumah rosak habis sebab lama sangat terbiar. Kami cuba mendapatkan penjelasan daripada banyak pihak tetapi semua ‘tendang’ kami ke sana ke sini.

“Kami bukan orang senang golongan B40 sahaja. Saya sekarang tinggal di rumah sewa dan menyewa RM400 sebulan. Harap sangat masalah ini selesai dalam masa terdekat,” kata bapa kepada empat orang anak ini.