Lelaki Indonesia diberkas cabul anggota polis

No Image Caption
A
A
A

AMPANG JAYA - Seorang pemandu teksi warga Indonesia diberkas dipercayai mencabul anggota polis wanita dalam kejadian di Medan Selera Cengkih di Taman Melawati pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.55 pagi ketika mangsa berumur 30 tahun itu sedang membeli kuih di lokasi.

"Suspek yang berada di belakang mangsa bertindak meraba punggung mangsa, mangsa yang menyedari perbuatan suspek itu bertanya kepada suspek akan tindakan yang dilakukannya itu.

"Bagaimanapun suspek tidak mengaku dan menyalahkan mangsa dengan mendakwa mangsa berdiri di kawasan sempit, suspek turut berdalih mengatakan dirinya bersama isteri sedang bersarapan ketika itu," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, siasatan dijalankan kemudian membawa kepada penangkapan suspek di lokasi kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari.

"Suspek yang berumur 58 tahun itu kemudian diberkas sebelum direman tiga hari untuk siasatan lanjut," katanya.