Belanjawan 2023: Rokok elektronik dijangka naik harga

Pengenalan Duti Eksais akan menyebabkan harga rokok elektronik naik. - Gambar hiasan.
Pengenalan Duti Eksais akan menyebabkan harga rokok elektronik naik. - Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA BHARU - Peniaga rokok elektronik mungkin akan menaikkan harga cecair rokok berkenaan jika kerajaan memperkenalkan Duti Eksais terhadap produk berkenaan.

Peniaga rokok itu yang mahu dikenali sebagai Sazali, 31, berkata, keputusan dalam pembentangan Belanjawan 2023 tidak mengejutkan kerana kerajaan sebelum ini sudah memaklumkan perkara itu.

"Bagaimanapun kami belum mengetahui lebih lanjut mengenai kadar Duti Eksais yang bakal ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Sazali, walaupun cukai dikenakan kepada pengilang tetapi peniaga tetap terjejas dengan harganya kerana sebelum ini paling rendah ialah RM15.

Dalam Belanjawan 2023 pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memperkenalkan Duti Eksais ke atas cecair atau gel mengandungi nikotin untuk rokok elektronik dan vape tahun ini.

Walaupun vape dan rokok elektronik masih tidak sah dalam negara tetapi ia tetap dijual secara berleluasa.

Sebanyak 50 peratus daripada duti berkenaan akan disalurkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai sokongan terhadap ikhtiar ke arah Generasi Penamat (GEG).

Sementara itu, peniaga vape dikenali sebagai Umar, 28, turut memberikan pendapat yang sama.

"Kami mungkin terpaksa menaikkan harga kerana ada cukai tetapi belum mengetahui nilainya," katanya.