JDT kekal genggam trofi Sultan Haji Ahmad Shah

Pertahanan JDT, Jordi Amat (tengah) beraksi baik mengekang pergerakan penyerang TFC, Adisak Kraisorn pada perlawanan berkenaan.- Foto: FB Johor Southern Tigers.
Pertahanan JDT, Jordi Amat (tengah) beraksi baik mengekang pergerakan penyerang TFC, Adisak Kraisorn pada perlawanan berkenaan.- Foto: FB Johor Southern Tigers.
A
A
A

SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya mengekalkan trofi Sultan Haji Ahmad Shah setelah menewaskan Terengganu FC, 2-0 pada aksi Piala Sumbangsih 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Jaringan pemain import, Juan Muniz Gallego pada minit ke-5 dan Bergson Da Silva pada minit ke-57 itu juga dilihat cukup memadai buat skuad Harimau Selatan itu meraih tiga mata sulung bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023.

Perlawanan berkenaan menyaksikan JDT bermula garang dengan mengatur asakan ke gawang pelawat dalam usaha membuka jaringan menerusi gandingan penggempur berbisa mereka, Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri.

Asakan bertali arus itu akhirnya membuahkan hasil apabila Juan Muniz menanduk masuk gol sulung perlawanan pada minit ke-5.

Pemain import dari Sepanyol itu dilihat mudah melepasi kawalan pertahanan TFC sebelum menanduk masuk hantaran seorang lagi penyerang import Harimau Selatan, Bergson Da Silva bagi menggamatkan stadium.

Tersentak dengan gol berkenaan, TFC mula bangkit mengatur asakan ke gawang tuan rumah dalam mencari gol penyamaan.

Bagaimanapun asakan-asakan berkenaan dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan JDT.

JDT juga dilihat berpeluang menambah jaringan, namun beberapa peluang yang dimiliki gagal disempurnakan hingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan JDT semakin garang mengatur asakan ke gawang pelawat dengan menggandakan asakan dalam usaha menambah jaringan.

Skuad Harimau Selatan itu hampir menambah jaringan pada minit ke-50, namun rembatan pemain sayap lincah Arif Aiman Hanapi tepat ke dakapan penjaga gol TFC, Mohd Suhaimi Husin.

Kesebelasan utama JDT pada aksi bertemu TFC sebentar tadi. - Foto: FB Johor Southern Tigers.
Kesebelasan utama JDT pada aksi bertemu TFC sebentar tadi. - Foto: FB Johor Southern Tigers.

Bagaimanapun, kekecewaan berkenaan ditebus penyerang import, Bergson Da Silva apabila menjaringkan gol kedua tujuh minit berselang.

Gol berkenaan dilihat semakin menyemarakkan semangat kesebelasan JDT untuk terus mengasak bagi menambah jaringan namun tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dihasilkan skuad Harimau Selatan itu hingga ke wisel penamat.

JDT -Ahmad Syihan.AMi, Matthew Davies, Mohd Afiq Fazail, Jordi Amat (kapten), Ship.Hong Wan, Bergson Da Silva, Muhammad Feroz Baharuddin (Shahrul Saad), Juan Muniz Gallego, (Leandro Velazquez), Oscar Arribas Passero, Arif Aiman Hanapi, Fernando Forestieri

Terengganu FC - Mohd Suhaimi Husin, Sardor Kulmatov, Muhammad Shahrul Nizam Ros Hasni (kapten), Muhammad Azam Azmi Murad, Ivan Mamut, Pusic Damago, Adisak Kraisorn, Sony Norde, Muhammad Zuasyraf Zulkiefle, Muhammad Hairiey Hakim, (Muhammad Safwan Mazlan), Muhammad Alif Zakaria

Pengadil - Suhaizi Shukri