Hutang negara RM1.2 trilion menakutkan - Nik Mohd Hasyudeen

Tangkap layar ciapan Nik Mohd Hasyudeen pada Jumaat.
Tangkap layar ciapan Nik Mohd Hasyudeen pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff menyifatkan pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 berhubung hutang negara yang menjangkau RM1.2 trilion sebagai menakutkan.

Ujar beliau, pendedahan bebanan hutang yang diwarisi oleh Kerajaan Perpaduan itu turut melibatkan bayaran faedah yang mencecah RM46 bilion.

“Menakutkan. Oleh kerana hutang langsung dah menjangkau RM1.2 trilion, bayaran faedah atau bunga sahaja dah RM46 bilion.

“Pokok tak terbayar dah. Ini belum masuk komitmen jaminan ke atas syarikat kerajaan yang tak mampu bayar hutang sendiri,” katanya dalam ciapan di Twitternya pada Jumaat.

Pada Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, hutang negara akan menjangkau RM1.2 trilion atau lebih 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2023.

Ulasnya, jika dihitung hutang dan liabiliti, angka itu dijangka mencecah RM1.5 trilion atau 81 peratus KDNK.

Menurut Anwar, kerajaan memilih membentangkan Belanjawan 2023 dengan memaparkan fakta sebenar tanpa mengaburi minda rakyat dengan data yang memukau.