Belanjawan inklusif, tambah baik sistem perlindungan sosial

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Belanjawan 2023 disifatkan sebagai merupakan bajet inklusif dan bertujuan untuk menambah baik sistem perlindungan sosial Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan dilihat sedang mengambil langkah konkrit untuk membuka ruang kepada lebih banyak pembaharuan selain memperkukuhkan asas pembangunan infrastruktur kesejahteraan sosial.

Katanya, ia termasuklah inisiatif penambahan caruman ke dalam akaun satu KWSP.

"Pihak kami amat mengalu-alukan usaha itu bagi menggalakkan ahli KWSP yang mempunyai simpanan rendah dan menghampiri usia persaraan untuk menyimpan secara berterusan bagi membantu mempercepatkan pengumpulan simpanan persaraan mereka.

"Selain itu, kerajaan melanjutkan program i-Saraan bagi tahun 2023 dan meningkatkan had maksimum insentif caruman padanan untuk 2023 daripada RM250 kepada RM300 setahun.

"Ia akan memberi manfaat kepada ahli yang berada di luar sektor formal termasuk suri rumah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat.

Tambah Amir Hamzah, pihaknya juga menyambut baik inisiatif perluasan skop pelepasan cukai tahunan bagi premium insurans nyawa atau caruman takaful hayat untuk meliputi caruman sukarela kepada KWSP sehingga RM3,000.

"Kesejahteraan rakyat Malaysia semasa usia emas kekal menjadi keutamaan dan KWSP akan menyokong pelaksanaan inisiatif ini untuk membolehkan rakyat membina semula simpanan persaraan.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat mengambil kira perubahan demografi yang menyebabkan semakin ramai penduduk tua serta landskap pekedaan menunjukkan peralihan ketara daripada pekerjaan formal kepada tidak formal," ujarnya.