[VIDEO] Kerajaan tambah RM500 dalam simpanan Akaun 1 KWSP

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju menambah caruman simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM500.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu tertakluk kepada pencarum berumur antara 40 hingga 54 tahun dengan simpanan KWSP kurang RM10,000 dalam Akaun 1.

“Kebanyakan rakyat menggunakan pendapatan yang diterima untuk menyara hidup sementara simpanan KWSP masih rendah.

“Program ini akan memberi manfaat kepada hampir dua juta ahli KWSP melibatkan peruntukan hampir RM1 billion,” katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Tambah beliau, inisiatif itu dilakukan untuk membantu rakyat membina semula simpanan hari tua bagi memastikan simpanan yang ada mencukupi bagi membiayai hari persaraan.

Pada masa sama, kerajaan berharap rakyat mempunyai simpanan persaraan yang cukup kerana ia akan menyumbang kepada semua lapisan pencarum supaya mereka mendapat manfaat.

“Saya tekankan begini, kita boleh mengeluarkan KWSP dalam keadaan terdesak, kalau kerajaan beri RM500 kepada golongan kategori bawah yang miskin, kemudian golongan kaya dibenarkan membuat pengeluaran, dividen orang miskin yang ramai itu akan terjejas.

“Jadi kita perlu buat pilihan di sini, sekiranya melaksanakan kenyataan popular itu dengan tidak diteliti secara terperinci itu akan memberi masalah,” jelasnya.