Wan Rosdy tawar diri tanding jawatan Naib Presiden UMNO

Wan Rosdy menyerahkan borang pencalonannya di Ibu Pejabat UMNO pada petang Jumaat.
Wan Rosdy menyerahkan borang pencalonannya di Ibu Pejabat UMNO pada petang Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.

Wan Rosdy berkata, borang pencalonan telah dihantar ke Ibu Pejabat UMNO jam 3 petang pada Jumaat.

Menurutnya, keputusan itu dibuat mengambil kira kedudukan, imej dan prestasi UMNO semakin merosot di mata rakyat terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Atas kesedaran itu, saya berhasrat membantu serta mencurahkan khidmat bakti kepada parti sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti terbesar orang Melayu ini.

"Mudah-mudahan bersandarkan kepada usaha, doa dan harapan, keputusan ini mampu untuk melakukan sesuatu demi kelangsungan perjuangan parti," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Wan Rosdy berkata, akar umbi UMNO dapat menilai pengalaman dan sumbangannya yang telah diberikan kepada parti selama ini terutama ketika kemenangan pertama UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, selepas PRU14.

"Kebangkitan UMNO/BN di Cameron Highlands diteruskan di pilihan raya kecil lain termasuk di Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini dan Slim River," katanya.

Beliau berkata, UMNO Pahang banyak membantu parti semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan serta membantu kemenangan parti dalam pilihan raya negeri (PRN) di Sabah, Melaka dan Johor.

"UMNO Pahang berjaya bangkit dengan pantas selepas PRU15, dengan mencipta kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang menjadi benteng terakhir parti ketika tsunami politik melanda negara.

"Walaupun ramai yang menjangkakan BN tewas teruk seperti mana yang berlaku di Padang Serai, namun kita berjaya mempertahankan kerusi Dun Tioman," katanya.

Menurutnya, pada PRU15, UMNO Pahang berupaya mempertahankan 17 kerusi DUN sekali gus bukti keupayaan dan kemampuannya menghadapi tsunami politik ketika itu.

"Berdasarkan kejayaan-kejayaan ini dan hasil perbincangan bersama rakan-rakan perjuangan, mereka telah meminta saya untuk meneruskan khidmat bakti dan berkongsi formula kemenangan ini kepada parti dengan cara yang lebih bermakna melalui jawatan Naib Presiden.

"Insya-ALLAH, berbekalkan semangat, iltizam dan segala pengalaman yang ada, saya bertekad untuk membantu kepimpinan parti terutamanya Presiden dan Timbalan Presiden bagi memastikan UMNO kembali bangkit memenangi hati rakyat," ujarnya.