Subsidi yuran taska RM180 sebulan untuk penjawat awam

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menyediakan subsidi yuran taska RM180 sebulan selain menaikkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah yang layak daripada RM5,000 kepada RM7,000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, subsidi tersebut akan memberi manfaat kepada semua penjawat awam.

"Terkait hal yang sama, bagi memperluas akses pendidikan awal kanak-kanak, kerajaan akan meneruskan pembinaan 80 buah taska dan tabika kemas termasuk 13 projek baharu.

"Saya juga menyeru supaya majikan memainkan peranan untuk turut bertanggungjawab berhubung penyediaan pusat jagaan kanak-kanak di pejabat.

"Kerajaan akan terus memudah cara garis panduan untuk pusat jagaan kanak-kanak di pejabat termasuk membenarkan penyediaan pusat jagaan di aras pejabat yang lebih tinggi," katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Tambah beliau, insentif cukai sedia ada juga akan dilanjutkan bagi elaun jagaan kanak-kanak serta kos menyediakan pusat jagaan di pejabat.

"Jika sambutan daripada majikan kurang menggalakkan, kerajaan akan meneliti keperluan untuk mewajibkan penyediaan kemudahan tersebut demi menyokong ibu yang bekerja.

"Kerajaan Perpaduan sensitif akan keperluan kaum wanita terutamanya mereka yang terpaksa berhenti bekerja selepas tempoh cuti bersalin untuk menjaga anak-anak kerana kos penjagaan kanak-kanak yang tinggi," ujarnya.