Belanjawan 2023: Rokok elektronik, vape dikenakan duti eksais

Gambar hiasan 123RF.
Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelaksanaan duti tersebut adalah langkah untuk tidak menggalakkan penggunaan rokok elektronik itu.

"Walaupun vape bernikotin masih tidak sah di sisi undang-undang, namun hakikatnya, ia telah dijual secara berleluasa dan dianggarkan bernilai lebih dua bilion ringgit.

"Alangkah baik sekiranya ia dikawal selia dan dikenakan cukai supaya

tidak menggalakkan penggunaan vape," katanya yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Tambah Anwar, kerajaan juga menyokong Dasar Generasi Penamat (GEG) dan bersetuju bahawa separuh daripada hasil duti eksais berkenaan akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan.

Ujarnya, ia sebagai usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan

Dalam pada itu, bagi mengurangkan ketirisan, beliau berkata, usaha penguatkuasaan agensi kerajaan akan terus dipergiat bersama pihak industri.

Tegasnya, ia bagi mengekang ketirisan hasil dan subsidi angkara sindiket penyeludupan seperti diesel, arak dan rokok.

Beliau turut memaklumkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan melaksanakan semula program pengakuan secara sukarela.

"Melalui program ini, pengampunan ke atas penalti 100 peratus akan diberikan bagi pengakuan sukarela mulai 1 Jun 2023 hingga 31 Disember 2024," ujarnya.