1,048 rumah belia Madani bakal dibina di ibu negara

Akmal Nasrullah -Foto Bernama
Akmal Nasrullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Syarikat BMG Global Sdn Bhd hari ini memeterai perjanjian bagi pembangunan 1,048 unit Rumah Belia Madani (RBM) di ibu negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, RBM dibangunkan secara ‘cross subsidy’ oleh KPKT bersama pemaju syarikat itu yang akan membangunkan 1,996 unit Rumah Mampu Milik (RMM) dengan tawaran harga RM300,000 dan ke bawah bagi golongan belia berusia bawah 35 tahun.

Beliau berkata, melalui keuntungan daripada hasil jualan RMM, pemaju akan membina 1,048 RBM secara percuma iaitu pulangan timbal balik kepada kerajaan.

"Ada dua komponen utama iaitu RBM dan RMM dengan jumlah keseluruhan 3,044 unit yang akan dibangunkan di Mukim Batu, Kuala Lumpur dengan keluasan 5.17 hektar di atas tanah kerajaan manakala kos pembangunan rumah ditanggung oleh pemaju.

"Penjenamaan semula RBM yang sebelum ini dikenali sebagai Rumah Transit Belia (RTB) selari dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menterjemahkan konsep MADANI dalam memajukan negara dan golongan muda,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembangunan RBM Mukim Batu di sini hari ini.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M. Noor Azman Taib dan Pengarah Eksekutif BMG Global Sdn Bhd, Sakeri Maming.

RMM iaitu rumah jenis pangsapuri dengan keluasan 800 kaki persegi dan 42 tingkat itu akan dibina di lokasi berhampiran Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda manakala RBM yang terdiri daripada unit studio dan unit dua bilik dengan ketinggian 38 tingkat dibina berhampiran Taman Metropolitan Kepong.

RBM berperanan sebagai rumah transit (sewaan) untuk satu tempoh sekurang-kurangnya dua tahun dan boleh diperbaharu sekiranya layak, bagaimanapun Akmal Nasrullah berkata perincian mengenainya dan permohonan untuk pembelian RMM akan diumumkan kelak.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KPKT optimis pembentangan Belanjawan 2023 oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat petang ini akan menyentuh secara terperinci mengenai aspek perumahan, anggota bomba dan kumpulan penjaja.

"Perdana Menteri sebelum ini turut menyatakan secara spesifik golongan peniaga dan penjaja harus dibantu oleh semua kementerian dalam misi menjaga kebajikan mereka, selain beliau turut mencadangkan pemberian elaun khas kepada anggota penyelamat Malaysia yang terlibat dalam bantuan mangsa gempa bumi di Turkiye,” katanya. - Bernama